
Operator outlet di Taman Larkin Perdana itu dilaporkan mendakwa alasan melaksanakan dasar itu kerana atendan hanya boleh berbahasa Melayu.
Kontroversi dasar itu menyusuli 2 operator dobi di Johor dan Perlis yang melaksanakan dasar orang Islam sahaja sebelum dibidas kerabat diraja di kedua-dua negeri 2 bulan lalu.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata menguatkuasakan langkah yang memisahkan rakyat mengikut bahasa dan etnik hanya melebarkan jurang antara kaum.
“Baru-baru ini terdapat banyak kebimbangan mengenai toleransi antara kaum kerana isu-isu yang timbul di negara ini,” katanya.
“Lebih baik pemikiran seperti itu, seperti dasar yang diamalkan sebuah kedai barangan Jepun di Johor Bahru, dikekang sebelum menjadi lebih serius,” tambahnya.
Isu ini muncul apabila seorang lelaki berusia 48 tahun mengadu dihalang kakitangan memasuki kedai itu dilaporkan oleh China Press.
Pengurusan kedai itu dilaporkan meminta pelanggan Cina ke outlet lain.
Dilaporkan papan tanda berbahasa Cina dinaikkan di premis itu menyatakan pelanggan Cina boleh bertanyakan lokasi kedai untuk orang Cina daripada pengurus kedai.
Menurut laporan itu, pengurus kedai itu bertegas kedai itu tidak mendiskriminasikan orang bukan Melayu kerana terdapat outlet di Johor dan negeri lain yang khusus untuk masyarakat Cina.

Ahli politik DAP Datuk Zaid Ibrahim mengkritik peraturan itu, dan berkata pihak berkuasa harus ambil tindakan terhadap operator itu.
“Mengarut. Bagaimana boleh jadi begini? Saya harap pihak berkuasa tempatan lakukan sesuatu,” kata bekas menteri undang-undang itu kepada FMT.
Beliau berkata perlu ada undang-undang yang melarang ahli perniagaan mengamalkan dasar prejudis seperti itu.
“Kalau kamu mahu jalankan perniagaan, kamu perlu lesen. Tetapkan peraturan bermula dari situ. Jangan benarkan diskriminasi,” kata Zaid, dan menambah perkara seperti itu mesti dikekang sebelum melarat.
Sementara itu, ahli politik MCA Ti Lian Ker berkata keharmonian yang merosot dalam kalangan rakyat berbilang kaum amat membimbangkan.

“Perlahan-lahan kita tidak mampu hidup bersama sebagai rakyat Malaysia, dan hidup bersama dalam keharmonian, perpaduan dan kestabilan,” katanya.
“Kaum, budaya dan agama diekploitasikan. Trend ini sangat berbahaya dan memecah-belahkan negara,” katanya.
Bagaimanapun, Ti cuba memberi peluang kepada pekedai itu dan berkata mungkin operator tidak berniat menyinggung perasaan orang.
“Mungkin cara komunikasi itu yang menyinggung perasaan. Keputusan yang mungkin sensitif sepatutnya disampaikan dengan memohon maaf,” katanya.
Pada September, 2 operator dobi, 1 di Muar dan 1 lagi di Kangar, dikritik pelbagai pihak selepas mereka dilapor melaksanakan dasar pelanggan orang Islam sahaja.
Pada 27 September, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menegur pemilik dobi di Muar, meminta operator itu berniaga di Afghanistan sekiranya mahu meneruskan dasar seperti itu.
Raja Muda Perlis turut mengambil langkah yang sama apabila muncul berita mengenai operator dobi di Kangar melaksanakan dasar seperti itu.
Pada 10 Oktober lalu, Majlis Raja-raja Melayu mengecam kontroversi kedai dobi untuk orang Islam sahaja, mengatakan tindakan seperti itu “bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat”.
Raja-raja Melayu berkata tindakan itu boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum, dan membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.