DA NANG: Menteri-menteri perdagangan dari negara yang terlibat dalam rundingan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) mencapai kesepakatan untuk meneruskan perjanjian perdagangan itu yang kini dikenal sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Para menteri bersetuju ke atas teras CPTPP yang diusahakan oleh para pegawai bagi mencapai hasil yang seimbang, dengan mengekalkan manfaat penting TPP, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri perdagangan TPP hari ini.
Negara anggota CPTPP terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Mereka juga bersetuju ke atas 7 artikel baharu CPTPP, yang antara lain mengenai Pelaksanaan, Pengeluaran dan Penyertaan, yang menggabungkan peruntukan dalam TPP asal, kecuali 1 set peruntukan terhad yang akan digantung.
Teks baharu itu juga mengandungi senarai 4 item khusus yang sudah mencapai kemajuan besar yang memerlukan konsensus sebelum dimeterai.
Item tersebut adalah Langkah-langkah Tiada Pematuhan Perkhidmatan & Pelaburan Perusahaan Milik negara, Penyelesaian Pertikaian dan Pengecualian Budaya.
“Menteri-menteri juga setuju CPTPP mengekalkan standard yang tinggi, keseimbangan menyeluruh dan integriti TPP dan pada masa yang sama memastikan kepentingan komersial dan kepentingan semua peserta dan memelihara hak negara untuk mengatur, termasuk fleksibiliti untuk menetapkan keutamaan, perundangan dan peraturan.
“Mereka juga mengesahkan hak setiap negara untuk memelihara, membangun dan melaksanakan dasar kebudayaan masing-masing.
“Kami menyedari bahawa setiap negara perlu menjayakan proses domestik sendiri, termasuk perundingan umum, sebelum menandatangani,” kata menteri perdagangan TPP.
Selain itu, mereka juga memutuskan semua surat sampingan TPP yang ditandatangani antara 11 negara akan dikekalkan pada prinsipnya, melainkan jika pihak yang berkenaan memutuskan sebaliknya.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa menteri-menteri menugaskan para pegawai untuk meneruskan kerja-kerja teknikal mereka, termasuk meneruskan usaha untuk menyelesaikan perkara yang belum dipersetujui secara konsensus, dan pengesahan undang-undang teks dan terjemahan bahasa Inggeris, untuk mempersiapkan teks untuk ditandatangan.
Malaysia mampu dapatkan penggantungan
Sementara itu, ketua perunding Malaysia Datuk Seri J Jayasiri berkata Malaysia mampu mendapatkan sebahagian besar penggantungan yang diminta terutama dalam bidang farmaseutikal dan hak cipta.
Beliau berkata menerusi CPTPP, perjanjian boleh dikuatkuasakan setelah disahkan oleh 6 daripada 11 anggota, berbanding sekurang-kurangnya 6 anggota yang mewakili 80% daripada jumlah KDNK sebelum ini.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, selepas Amerika Syarikat (US) menarik diri daripada rundingan TPP, negara anggota lain memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan perjanjian itu dengan menggantung beberapa peruntukan yang terhad, dan mengekalkan standard tinggi dan komprehensif perjanjian berkenaan.
Kenyataan menteri serta butiran perjanjian diumum dan boleh didapati di laman web kementerian.
Menteri-menteri berkenaan bersetuju terhadap 20 peruntukan yang digantung dan banyak lagi isu yang perlu dimuktamadkan sebelum perjanjian dimeterai.
Menteri Datuk Sri Mustapa Mohamed mengesahkan antara peruntukan yang dipersetujui digantung, yang turut melibatkan kepentingan Malaysia, termasuk biologi, pelarasan terma paten dan hak cipta.
Beliau bekata Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara lain dalam program kerja yang merupakan antara usaha untuk memuktamadkan isu yang belum selesai.
Walaupun ketiadaan AS, Malaysia masih berpeluang menikmati manfaat akses pasaran ke negara seperti Kanada, Peru dan Mexico.
“Secara keseluruhannya, kami yakin manfaat CPTPP akan mengatasi kosnya dalam konteks Malaysia. Penglibatan negara dalam CPTPP merupakan bukti mengenai komitmen Malaysia terhadap globalisasi dan multilateralisme,” kata Mustapa.
Mustapa berkata Malaysia juga perlu menimbang impak ke atas ekonomi negara sekiranya Malaysia memutuskan untuk tidak menyertai CPTPP, sedangkan 10 negara yang lain meneruskannya.