
Peguam kerajaan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab menganggap Fuzi, ketika itu ketua Cawangan Khas, tidak tahu Maria ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) selama 10 hari bermula 18 November tahun lepas.
Zaki membuat keputusan itu di kamar.
Saman fitnah oleh Maria ditetapkan untuk bicara pada 10 Januari.
Dalam penghujahan minggu lepas, Terrirudin berkata kerajaan membantah saman Jamal kerana Fuzi bukan saksi material dan relevan.
Beliau berkata tangkapan dan penahanan Maria di bawah Sosma tiada kaitan dengan Cawangan Khas semasa Fuzi menerajuinya.
Peguam Jamal, V Mugunthan berkata Fuzi seorang saksi material kerana beliau boleh mendedahkan mengapa Maria ditangkap.
Fuzi adalah pengarah Cawangan Khas sebelum dilantik menjadi ketua polis negara pada September.
Maria dalam tuntutan undang-undang itu mendakwa Jamal pada 28 September tahun lepas, mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Bersih pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Beliau mendakwa pada 4 Oktober tahun lalu, Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Bersih pada sidang media di perkarangan Bukit Aman.
Beliau berkata media dan portal berita kemudian menyiarkan kenyataan itu.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 7 Oktober 2016, Maria berkata reputasi dan nama baik beliau dicemari.
Beliau menuntut ganti rugi, dan injunksi menghalang Jamal daripada mengeluarkan kenyataan seperti itu secara lisan, bertulis atau dalam talian.
Jamal memaklumkan mahkamah beliau mahu memanggil bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, OCPD Kuala Selangor Roslan Abdullah dan pengerusi PKR Johor Hassan Karim.
Para saksi itu, katanya, dijangka boleh membuktikan kebenaran komen itu dibuat secara adil dan wajar sebagai respon kepada saman Maria.