
Yahya berkata permohonan Majlis Daerah Kota Belud bagi melaksanakan projek berkenaan bagi mengatasi masalah banjir kesan daripada kejadian gempa bumi pada tahun 2015 yang menyebabkan mendapan sungai, sudah pun diluluskan kerajaan negeri.
“Pelaksanaan projek khas ini diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” kata Yahya yang juga menteri pertanian dan industri makanan Sabah ketika menjawab soalan Dr Edwin Bosi (PAKAR-Kepayan) sempena persidangan DUN hari ini.
Selain itu kata Yahya, Projek Tebatan Banjir Sungai Kedamaian juga diluluskan dalam Rolling Plan 2 (RP2) dengan peruntukan RM50 juta dan kini di peringkat Kajian Nilai (VA) manakala Rancangan Tebatan Banjir Sungai Gurong-Gurong bernilai RM20 juta kini dalam peringkat tawaran dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Katanya projek pengorekan muara Sungai Abai yang bernilai RM4.6 juta bagi mempercepatkan aliran air dari hulu ke laut juga sedang dilaksanakan.
Menurutnya, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) juga melaksanakan projek pengorekan mendapan pasir di kawasan tertentu dan pengorekan rangkaian saliran bagi kawasan yang dikenal pasti untuk mempercepatkan aliran air surut sebagai langkah jangka pendek atasi masalah banjir di kawasan yang mudah mengalami banjir kilat.
“Selain itu, sejak kejadian gempa bumi pada 2015 sehingga 2017, JPS membelanjakan hampir RM9 juta untuk melaksanakan kerja kecil pemuliharaan di bawah Program Pasca Banjir dan Program Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir.
“Projek di bawah biayaan persekutuan ini adalah untuk mengurangkan kejadian banjir lumpur yang berlaku di sepanjang Sungai Kedamaian sehingga ke Sungai Abai,” katanya.
Katanya projek berkenaan melibatkan hampir 30 kampung sepanjang laluan sungai berkenaan termasuk Kampung Melangkap Baru, Kampung Gansurai, Kampung Botung Narinang, Kampung Rangalau, Kampung Kebayau, Kampung Menunggui, Kampung Siasai, Kampung Tamau Lilud, Kampung Pirasan, Kampung Menunggui, Kampung Siasai Kumpang dan Kampung Bobot.
Bagi mengatasi masalah banjir di Sepangar kata Yahya, beberapa projek tebatan banjir telah dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan negeri termasuk projek saluran Bandar Kota Kinabalu bernilai RM15 juta untuk menaik taraf parit monsun sepanjang 1.2 km dari Taman Bandar Sierra ke Simpang Jalan masuk ke Taman Putera Jaya.
Katanya, peruntukan persekutuan untuk Projek Rancangan Tebatan Banjir Bandar Sierra, Lembangan Sungai Telipok, Kota Kinabalu pula diluluskan dalam Rolling Plan Ke-2, Rancangan Malaysia Ke-11 dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan kos RM20 juta.
“Pada masa ini, JPS juga sedang melaksanakan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, Pakej 1 dan Pakej 3. Kedua-dua projek ini akan mendatangkan faedah kepada penduduk di daerah Penampang dan Putatan,” katanya.