Banjir: Suami isteri korban ruang tamu untuk kambing

kambing

KUALA BERANG: Sepasang suami isteri terpaksa menjadikan ruang tamu rumah mereka sebagai “kandang sementara” apabila kampung mereka dinaiki air beberapa hari lalu.

Rohani Mamat, 50, dan suaminya, Ismail Othman, 60, berdepan saat berkenaan apabila kandang asal kambing mereka di Kampung Nibong, Hulu Terengganu runtuh akibat dipukul ribut kencang, Ahad lalu.

“Pada masa kejadian, pukul 12.00 tengah hari…saya dan suami tiada di rumah sebab ada urusan…hanya ada anak bongsu perempuan kami berusia 9 tahun di rumah pada ketika itu.. saya sudah berasa tidak sedap hati sebab angin sangat kuat terpikirkan anak dan kambing di rumah.

“Sampai di rumah, betul tekaan saya, dari jauh lagi saya mendengar bunyi kambing dan saya terus meluru melihat kandang kambing di belakang rumah…pada masa itu suami saya sudah mula mengalih kambing-kambing yang terperangkap di bawah runtuhan kandang di mana kami ikat kambing di tiang bawah kandang sebelum keluar rumah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ibu kepada 3 orang anak ini terpaksa membawa masuk kambing ke dalam ruang tamu kerana tiada kawasan tinggi yang boleh menempatkan 14 ekor kambing mereka ini.

“Saya dengan suami segera mengalihkan mereka untuk segera masuk ke dalam ruang tamu kerana air pada masa itu mula mencapai tahap lutut…jadi agak mustahil untuk memindahkan mereka ke tempat lain kerana gelap dan air pula mula menjadi laju.

“Selepas runtuh kandang tersebut, kami letakkan semua kambing di bawah rumah kami buat sementara kerana ingin mencari tukang untuk membaiki kandang dalam tempoh yang cepat memang susah…lebih lagi sekarang musim hujan dan bayarannya juga mungkin lebih tinggi dari hari biasa,” katanya.

Memikirkan nasib kambing tersebut, mereka merelakan diri untuk berkongsi rumah bersama kambing sehinggalah musim hujan ini berakhir.

“Kami sudah anggap mereka seperti anak sendiri, malah turut menggelarkan diri sebagai ‘mok’ (emak) dan ayah kalau datang memberi makan dan berinteraksi dengan mereka.

“Cuma kami berharap hujan berhenti seketika sebab memberi ruang untuk tukang membaiki kandang…kesian kambing ini terpaksa berhimpit di ruang tamu kami yang tidaklah sebesar mana.

“Sepanjang 2 malam ini, selang 4 jam sekali saya dan suami akan membasuh ruang tamu kami kerana mereka akan membuang najis di dalam kawasan itu juga, mahu tidak mahu itulah yang harus dihadapi selagi paras air belum turun…tapi alhamdulillah hari ini sudah tiada air di sekitar kawasan rumah,” katanya.

Katanya, kali ini juga mereka tidak berpindah ke pusat pemindahan di kampung mereka kerana bimbang dengan keadaan kambing belaan mereka.