
Ini kerana kerjasama Proton-Zhejiang itu telah menyelamatkan 10,000 pekerja Bumiputera daripada hilang pekerjaan, kata perwakilan Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail.
“Walaupun tular pembangkang ceritakan kerajaan Malaysia sudah jual Proton dekat China, tetapi sebenarnya tindakan Najib itu telah menyelamatkan 10,000 pekerja Proton Melayu dan Bumiputera.
“Kalau tak ada tindakan bijaksana daripada presiden kemungkinan Proton akan ditutup. Teruskan tindakan yang bijak dan tepat itu,” katanya ketika berbahas di Persidangan Umno 2017 di Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC) hari ini.
Proton diasaskan pada 1983 oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan menerima suntikan dana kerajaan sebanyak RM1.5 bilion tahun lalu dengan syarat ia berusaha mencatatkan keuntungan dan mendapatkan rakan kongsi asing.
Beberapa pihak yang berminat memiliki Proton termasuk PSA dari Perancis yang merupakan pengeluar Peugeot dan Citroen, pesaingnya Renault, dan Suzuki Motors dari Jepun.
Pada 24 Mei lalu, Proton Holdings Bhd selaku pemilik Proton memeterai perjanjian dengan Geely yang menyaksikan penjualan 49.9% pegangan kepada Geely, manakala Proton mengekalkan pegangan majoriti sebanyak 50.1%.
Geely mengambil alih Volvo daripada Ford Motor pada Ogos 2010.
Dalam pada itu, Yusof sempat mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendakwa bekas perdana menteri itu tidak pernah menyumbang kepada Kedah.
“Dr Mahathir jadi perdana menteri 22 tahun beliau tidak pernah melakukan apa-apa di Kedah, tetapi presiden dari Pekan (Najib) luluskan satu perkara di Kedah iaitu zon bebas cukai. Ini menjana ekonomi di Kedah,” katanya.