
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Najib lantang menentang tindakan AS di media sosial tetapi beliau belum melihat sebarang langkah dari pentadbirannya.
“Setakat ini kita belum lagi mendengar Wisma Putra memanggil duta AS ke Malaysia untuk menjelaskan tindakan Trump yang menggugat politik rantau Timur Tengah itu.
“Tweet beliau itu hanyalah retorik semata-mata sempena Persidangan Agung Umno (PAU) 2017, sekiranya ia tidak diikuti beberapa langkah diplomatik dan perdagangan sebagai tanda bantahan Malaysia terhadap cadangan ini.
“Adakah kerana Najib takut menggores hati ‘kawan baik’ beliau itu? Apakah nasib umat Islam di Palestin, serta yang beragama Kristian, lebih penting dari hubungan baik Najib dengan ‘rakan golf’ beliau?
“Apakah nasib negara Palestin lebih penting dari membantu mengukuhkan ekonomi AS?” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Najib dalam kenyataan di media sosial menulis: “Saya selaku Presiden Umno dan perdana menteri Malaysia, mengajak semua bangun dan zahirkan pendirian selantang-lantangnya, agar dunia dengar gema suara Umat Islam Malaysia, kita tolak sekeras-kerasnya cadangan jadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila!”
Pada 13 September lalu, Najib bertemu Trump dan anggota kanan pentadbirannya di White House di mana Malaysia menyatakan kesediaan membantu ekonomi AS dengan melibatkan diri dalam membangunkan prasarana melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai antara AS$3 bilion dan $4 bilion, selain membeli 25 buah pesawat Boeing 737.
Fahmi juga mencabar Najib segera membatalkan semua perjanjian pelaburan yang dibuat.
“Rakyat sedang melihat apakah Najib benar-benar membantah Presiden Trump atau hanya bermain retorik sempena PAU 2017.”