
Najib akan mewakili Malaysia pada persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki esok.
“Najib ini amat rapat dengan Trump. Oleh itu saya harap Najib yang akan menghadiri mesyuarat OIC di Turki akan memasukkan perkara ini untuk berjumpa dengan Trump,” kata Dr Mahathir kepada wartawan di ibu pejabat PKR di sini.
Menurutnya, beliau “yakin” Najib dapat memujuk Trump menarik balik langkah memindahkan kedutaaan AS ke Baitulmaqdis.
Najib sebelum ini berkata pertemuan beliau dengan Trump di White House baru-baru ini membuahkan hasil sehingga pentadbiran Trump mula menunjukkan perhatian terhadap nasib umat Islam Rohingya di Myanmar.
“Ini kejayaan Malaysia, bermakna Malaysia ada pengaruh di pentas antarabangsa hatta dengan kuasa besar,” kata Najib di Dewan Rakyat Oktober lalu menjelaskan lawatannya ke Washington pada September.
Sementara itu, Pakatan Harapan mengumumkan perhimpunan di luar Kedutaan AS pada Jumaat ini bagi membantah langkah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
“Ini bukan soal agama dan bangsa. Ini kerana masyarakat dunia juga menentang keputusan Trump yang tidak menghiraukan pendapat antarabangsa. Baitulmaqdis adalah kota suci bagi ketiga-tiga agama dan ini soal hak asasi manusia,” kata Dr Mahathir.