Malaysia amal prinsip ‘non-refoulment’ terhadap pelarian Rohingya

Malaysia amal prinsip ‘non-refoulment’ terhadap pelarian Rohingya

Ia adalah prinsip antarabangsa di mana Malaysia tidak menghantar pulang pelarian ke negara asal disebabkan peperangan melainkan mereka pulang atas kerelaan sendiri.

Shahidan-Kassim
KUALA LUMPUR: Kerajaan memegang prinsip asas di peringkat antarabangsa iaitu “non-refoulement” dalam usaha membantu etnik Rohingya yang berada di Malaysia serta memberi pelbagai bantuan lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurutnya, prinsip itu menjelaskan adalah menjadi tanggungjawab sesebuah negara untuk tidak menghantar pulang pelarian ke negara asal sekiranya kerajaan tahu pelarian itu akan dianiaya atau mungkin terbunuh di negara asal mereka melainkan mereka pulang atas kerelaan sendiri.

“Kerajaan menyedari bantuan yang diberikan sebenarnya melebihi bantuan yang diberikan oleh negara lain.

“Namun, bantuan ini diberikan atas dasar kemanusiaan yang kerajaan berusaha bantu etnik Rohingya dengan memberikan pelbagai bentuk bantuan sehingga mereka dihantar ke negara ke-3 atau pulang ke negara asal,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata setakat 31 Oktober lepas, seramai 63,814 pelarian Rohingya berada di negara ini dan jumlah itu meningkat 1,661 orang berbanding 62,153 pelarian pada bulan sebelumnya.

Shahidan berkata kerajaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang giat menghantar bantuan kemanusiaan kepada etnik itu yang kini berada di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Beliau berkata kerajaan menubuhkan hospital medan di Cox’s Bazar yang mempunyai 50 katil serta boleh menempatkan 150 pesakit pada satu-satu masa.

Ia turut dilengkapi bilik pembedahan, kemudahan x-ray dan bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak bagi membolehkan pelarian Rohingya mendapatkan pemeriksaan rawatan perubatan termasuk ibu mengandung, katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.