Pengebom Bangladesh cedera 3 mangsa, diri sendiri di New York

Pengebom Bangladesh cedera 3 mangsa, diri sendiri di New York

Akayed Ullah seorang pemegang kad hijau tidak mempunyai rekod jenayah dan siasatan mendapati dia menonton propaganda IS di internet.

Pengebom Bangladesh cedera 3 mangsa
NEW YORK: Seorang lelaki Bangladesh meletupkan bom paip yang dilekatkan pada tubuhnya di hub komuter bandar New York pada pagi Isnin, kata pihak berkuasa, menyifatkan kejadian itu cubaan serangan pengganas.

Suspek, Akayed Ullah, 27, dibawa ke hospital selepas mengalami kesan lecur daripada peranti letupan itu, yang dikancing pada tubuh dan diikat dengan kabel dan tidak menyala sepenuhnya, kata pegawai. Penyiasat memberitahu Reuters mereka percaya serangan itu cubaan mengebom bunuh diri.

Letupan di terowong bawah tanah antara stesen Terminal Bas Port Authority dan Times Square sekitar 7.00 pagi itu menyebabkan pengguna bertempiaran lari menuju ke pintu keluar dan polis berkejaran ke tempat kejadian, ketika pihak berkuasa cuba melencongkan kereta api dan menutup jalan raya.

Tiga orang, termasuk seorang pegawai polis, mengalami kecederaan kecil.

Serangan itu berlaku 6 bulan selepas polis berkata seorang lelaki Uzbek, Sayfullo Saipov, melanggar sekumpulan pejalan kaki di Manhattan, membunuh 8 orang dalam kejadian yang IS mengaku bertanggungjawab. Pada September 2016, seorang lelaki mencederakan 31 orang apabila beliau menyalakan bom buatan sendiri di kawasan perumahan Chelsea, New York.

Mutakhir ini, ramai orang mendakwa diilhamkan IS menjalankan serangan di serata Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikt.

Pegawai pihak berkuasa yang arif tentang siasatan Ullah itu berkata penyiasat menemui bukti menunjukkan dia menonton propaganda IS di internet.

Presiden Donald Trump berkata serangan itu menekan keperluan reformasi dasar imigresen AS.

“Amerika mesti betulkan sistem imigresen yang longgar, kerana ia membolehkan terlalu ramai orang yang tidak ditapis dengan ketat memasuki negara kita,” katanya.

Ullah menetazp di Brooklyn bersama ibunya dan 3 adik beradik di Brooklyn dan memegang kad hijau, kata Duta Besar Bangladesh Shameem Ahsan.

Beberapa pegawai AS yang arif tentang siasatan itu memberitahu Reuters setakat ini belum ada maklumat menunjukkan pihak berkuasa AS tahu mengenai hubungan antara Ullah dan militan atau terorisme.

Ullah berasal dari Chittagong, Bangladesh dan seorang warga AS, kata polis. Dia tidak mempunyai rekod jenayah dan kali terakhir melawat Bangladesh 8 September lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.