
Guru Besar Sekolah Pelangi Kasih, Rafiq Ismail memuji sukarelawan yang membantunya dan berkata mereka sangat berdedikasi sehingga turut menggunakan pusat itu untuk membantu golongan memerlukan di kawasan sekitar.
“Kami mengagihkan makanan kepada orang miskin di sekitar ini setiap bulan,” katanya ketika ditemui FMT di sekolah itu.

“Kami satu-satunya pusat sehenti untuk pelarian Rohingya di Lembah Klang dan ada ramai yang datang mendapatkan bantuan. Jadi, kami memerlukan sebanyak mungkin bantuan yang kami boleh dapatkan.”
Setiap pagi, kanak-kanak yang melarikan diri bersama keluarga mereka dari keganasan di Myanmar, datang ke sekolah berkenaan untuk belajar dan bermain bersama rakan mereka.

“Dari jam 9 pagi hingga tengah hari, kami ajar mereka subjek akademik biasa seperti bahasa Malaysia, Inggeris dan sains, manakala dari 2 hingga 6 petang kami ajar mereka agama Islam,” kata Rafiq yang berusia 42 tahun.
Lima daripada 9 guru di sana mengajar mata pelajaran akademik, manakala baki 4 lagi mengajar agama Islam.
Kanak-kanak itu yang kebanyakannya dari sekitar Batu Caves dan Selayang turut diberikan makanan pada waktu rehat.

Rafiq yang membantu pelarian Rohingya lebih 10 tahun lalu berkata, Batu Caves kini menempatkan lebih 10,000 pendatang asing.
“Sepanjang 10 tahun lalu, saya nampak jumlah mereka semakin berkembang kerana ramai daripada mereka boleh mencari kerja di kawasan ini.
“Mereka melakukan pelbagai kerja yang tidak diminati rakyat Malaysia, seperti di pasar basah.”
Pelajar pintar
Burhanuddin, 27, seorang penuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) menyumbang tenaga dengan mengajar agama Islam dan bahasa Arab secara sukarela di sekolah itu.
Pelajar Bangladesh dari keturunan Rohingya itu berkata, beliau datang ke sekolah itu 3 kali seminggu untuk mengajar kanak-kanak berkenaan walaupun jadualnya padat, termasuk menjalankan penyelidikan dalam pasaran modal Islam di UIA.

“Pelajar ini sangat bijak dan mereka juga berminat belajar. Daya ingatan mereka agak baik juga. Mereka boleh berbahasa Arab dengan fasih.”
Ramai pelarian Rohingya di Malaysia ialah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tetapi kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian etnik Rohingya kerana Malaysia bukan negara anggota Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

Baru-baru ini dilaporkan kira-kira 60,000 pelarian Rohinya didaftarkan dengan UNHCR di Malaysia, dengan ribuan lagi masih tidak berdaftar.