Ah Long ‘bantu’ pendatang asing di hospital

Ah Long ‘bantu’ pendatang asing di hospital

Warga asing yang terdesak akan menerima tawaran pinjaman wang ah long, tetapi terpaksa membayar 2 kali ganda.

ah-long
PETALING JAYA: Peminjam wang seperti ah long berlegar-legar di kawasan hospital untuk mengambil kesempatan ke atas pendatang asing yang memerlukan wang untuk menyelesaikan kos rawatan kesihatan, kata sebuah organisasi hak asasi.

Tenaganita berkata pihaknya ada dimaklumkan mengenai kegiatan ah long yang menunggu di hospital dan menawarkan pinjaman wang kepada pendatang untuk rawatan kesihatan mereka.

Ia susulan maklumat yang diterima FMT daripada seorang pendatang Indonesia dengan status pemastautin tetap di Malaysia.

Warga Indonesia itu berkata apabila rakannya membawa isterinya yang hamil ke hospital kerajaan, “agen” mendekati rakannya sambil mengatakan mereka sanggup membantu jika beliau tidak mempunyai wang mencukupi untuk jagaan rawatan isterinya.

Warga asing perlu membayar deposit yang lebih mahal apabila mereka mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Dalam usaha mengurangkan subsidi rawatan kesihatan untuk warga asing, Kementerian Kesihatan pada April mengumumkan kadar baharu untuk kemasukan wad dan pembedahan.

Timbalan Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata untuk wad kelas ke-3, contohnya, warga asing kini perlu membayar deposit sebanyak RM1,400 berbanding RM600 sebelum ini.

Pengarah Tenaganita, Glorene Das berkata tindakan ah long dan “lintah darat” itu memangsakan warga asing, tetapi ia tidak dilaporkan terus kepada pihaknya.

“Mereka tidak semestinya agen,” kata Glorene. “Mereka berikan wang sebagai pinjaman kerana mereka tahu pendatang terdesak.

“Pendatang biasanya akan menerima tawaran itu kerana mereka terdesak untuk wang dan tidak mampu membayar yuran tersebut.”

Kata Glorene, kesannya, mereka terpaksa membayar hutang tersebut sebanyak 2 kali ganda daripada jumlah pinjaman berserta faedah.

Tambahnya lagi, jika pendatang gagal melunaskan hutang, mereka akan diugut dan dirompak.

Cubaan menghubungi Kementerian Kesihatan setakat ini gagal tetapi FMT masih sedang cuba menghubungi pihak tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.