
Menggelar pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) “Melayu yang tidak relevan”, bekas menteri menyifatkan seruan Zamihan kepada pengerusi PPBM supaya membuat amal jariah dan tidak perlu fikir politik di usia 93 tahun sebagai “angkuh dan biadab”.
“Penjawat awam yang angkuh, biadab dan tidak bertanggungjawab itu, yang sesetengah orang anggapnya ‘sarjana agama’, jelas sekali tidak faham seseorang tidak akan tahu bila ajal tiba.
“Mungkin dia ketakutan kerana tuan politiknya berdepan ‘kematian politik’, sebab itu dia terdesak dan merayu Dr Mahathir supaya henti berjuang,” katanya.
Bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu merujuk temubual Zamihan dengan akhbar Watan pada Sabtu, di mana beliau ditanya tentang pemimpin tertentu yang kembali ke arena politik.
Tanpa menamakan Dr Mahathir, Zamihan berkata orang itu tidak perlu sertai politik dan bertaubat “atas kesilapan yang lalu”.
“…dan membuat amal jariah yang banyak untuk akhirat. Sepatutnya tak payah fikir politik kalau sudah tua bangka, nak dekat mati ini,” katanya dalam wawancara yang disiarkan secara langsung di Facebook.
Zaid berkata Zamihan contoh orang “konon pemikir Melayu-Islam” atau “sarjana” yang tidak relevan.
“Orang seperti itu terkenal dengan kebiadabannya, menimbulkan rasa meluat dan bercakap karut-marut belaka. Orang macam itu sama sekali tidak menghormati orang lain,” kata Zaid.
Beliau berkata masyarakat hari ini boleh memikirkan isu negara secara jelas.
“Ini termasuklah sama ada Dr Mahathir melakukan perkara baik atau tidak, mereka tidak perlukan nasihat orang macam Zamihan.”
Zaid mendakwa Zamihan mengeluarkan kenyataan sensasi kerana merasakan ia akan menaikkan namanya.
“Orang Melayu yang tidak relevan macam beliau hidupnya umpama burung kakak tua, mengulangi apa yang diarahkan tuan mereka. Mereka hanya diiktiraf oleh orang seperti mereka. Orang lain tidak mengiktiraf mereka.”
Jantina Nur Sajat
Zahid turut mendakwa pegawai kanan Jakim, Mohd Izwan Yusof, sebagai tidak relevan selepas jabatan itu diumumkan mahu mengesahkan identiti dan jantina seorang usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.
“Izwan kata Jakim perlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk selesaikan proses itu.
“Saya tak tahu tentang apa yang diperlukan dalam proses itu. Nur Sajat seorang usahawan selebriti dan Jakim merasakan mereka bertanggungjawab mengesahkan dan mengenal pasti jantina dan orientasi seksual orang Islam, termasuk Nur Sajat,” kata Zaid.
Beliau berkata itu satu lagi contoh bagaimana kerajaan membelanjakan wang pembayar cukai dan membazirkan masa semua orang kerana mereka suka menjaga tepi kain orang lain dan tiada kerja lain.
“Mereka boleh mengesahkan, memperakui, menjelaskan dan mengenal pasti tubuh dan orientasi Nur Sajat, atau ribuan transgender lain, golongan gay dan lesbian yang menganggap negara ini rumah mereka, tetapi akhirnya mereka semua manusia.
“Mereka hanyalah diri mereka dan itu sesuatu yang orang Melayu tidak relevan tidak faham.
“Orang Melayu yang tidak relevan tidak tahu dunia sebenar. Mereka tidak tahu sains atau biologi. Mereka hanya tahu bercakap buruk tentang orang lain,” katanya.