
Ketua Pemuda PPBM itu berkata PH perlu meyakinkan penyokong #UndiRosak menyokong PH kerana setiap orang ada tempat untuk mencorakkan masa depan negara.
“Saya faham rata-rata rakyat Malaysia kecewa dengan situasi politik sekarang.
“Namun marilah kita lihat secara realistik, bagaimana untuk kita mengubah Malaysia yang semakin tenat dengan barah Kleptokrasi dan demam rasuah.
“Tidak salah untuk kita undi rosak. Namun kita harus meneliti struktur demokrasi di Malaysia dan adakah implikasinya boleh membawa perubahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Gesaan supaya pengundi merosakkan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini dibuat pihak tertentu sebagai tanda protes mereka terhadap BN dan PH, terutama selepas gabungan pembangkang menamakan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.
Isu berkenaan turut menjadi agenda utama dibincangkan Majlis Presiden PH Selasa lalu.
Mengulas mengenai isu itu Dr Mahathir berkata gerakan berkenaan kecil dan hanya melibatkan kira-kira 1% pengundi saja.
Beliau menganggap penyokong gerakan berkenaan sebagai “berfikiran cetek”, dan menafikan dakwaan beliau tidak ada banyak bezanya berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata PH sudah menyatakan pendirian untuk mereformasikan sistem demokrasi.
Menurut beliau, PH dalam manifesto gabungan bertekad antaranya untuk menghadkan tempoh kuasa perdana menteri kepada 2 penggal, mengasingkan portfolio perdana menteri dan menteri kewangan, dan menyerahkan kuasa melantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara kepada Parlimen.
“BN masih berdiam diri. Apa yang mereka tawarkan?. Apa yang mereka buat untuk melawan rasuah. Adakah mereka akan ubah struktur demokratik.
“Saya faham kekecewaan orang ramai. BN dah berkuasa lebih 60 tahun, berikan kami peluang dan jika kami gagal undi kami keluar.
“PRU14 merupakan PRU Rakyat lawan BN. Setiap undi adalah satu suara kita. Jangan bazirkan peluang kita menjadi sejarah membawa Malaysia ke depan,” katanya.