Kes baling kerusi: Polis masih menunggu laporan jabatan kimia

Kes baling kerusi: Polis masih menunggu laporan jabatan kimia

Polis masih menunggu keputusan ujian DNA sebelum dapat mengenal pasti suspek kes remaja maut ditimpa kerusi.

polis-baling-kerusi-ppr
PETALING JAYA: Polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum dapat mengenal pasti suspek kes remaja maut ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata beliau tidak boleh mengulas kes itu tetapi berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tampil ke depan untuk membantu siasatan.

“Kita telah mengambil lebih 31 sampel ujian DNA. Kita masih belum mendapat laporan daripada pihak jabatan kimia, jadi tidak boleh ulas panjang.

“Buat masa ini, kita harap orang ramai yang ada maklumat berhubung kes baling kerusi, saya minta bagi maklumat segera bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Sebelum ini, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas di Blok 102, PPR Seri Pantai.

Dalam kejadian 8.30 malam, S Sathiwaran yang juga pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya dikatakan sedang berjalan bersama ibunya, S Kasthurivai, 45, untuk balik ke rumah mereka di tingkat 16 blok sama.

Dua beranak terbabit sebelum itu pergi ke kedai runcit di bawah PPR itu dan sebaik saja mereka menghampiri ruang tertutup berhampiran tangga, sebuah kerusi pejabat berwarna biru melayang dari atas dan terkena kepala mangsa.

Mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ibu mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata hasil ujian itu diperlukan selepas siasatan terperinci terhadap 5 individu yang disenarai pendek tidak menemui sebarang petunjuk positif.

“Daripada 43 individu dipanggil untuk dirakamkan keterangan mereka, kita ada 5 individu yang kita jalankan siasatan lebih terperinci,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.