
Presiden Aswaja, Zamihan Mat Zin berkata, penubuhan Jakim sejajar Perkara 3(1), 12(2) serta 37(1) Perlembagaan dan tidak bercanggah undang-undang persekutuan atau negeri kerana ia bukan badan penguatkuasaan undang-undang Islam.
Beliau berkata, peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan juga membenarkan Jakim menerima peruntukan khas daripada kerajaan.
“Ia jelas sesuai dengan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa adalah sah bagi persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.
“Maka adalah suatu kekeliruan (Kalau tidak pun penipuan) untuk menuduh penubuhan badan seperti Jakim kononnya tidak berperlembagaan, sedangkan ia sesuai dengan peruntukan-peruntukan yang disebutkan kerajaan persekutuan menubuhkan Jakim sebagai satu institusi agama untuk membantu kerajaan persekutuan dalam memartabatkan agama Islam.
“Ia sama sekali tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang persekutuan atau negeri kerana Jakim bukan badan penguatkuasaan undang-undang Islam sebaliknya kuasa tersebut kekal ada pada raja-raja Melayu dan sekaligus autoriti terhadap perkara berkaitan Islam masih tetap berada pada negeri-negeri, bukannya Jakim,” katanya dalam catatan Facebooknya hari ini.
Razaleigh dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini berkata, Jakim merupakan salah satu usaha Umno untuk bersaing dengan PAS dalam soal Islam.
Ku Li yang berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Jakim dibentuk sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam yang dimulakan Dr Mahathir selepas menerajui kerajaan pada 1981.
“Apabila beliau berkuasa, beliau melihat PAS sebagai satu ancaman. Oleh itu, beliau meneruskan program Islamnya, menubuhkan Jakim misalnya.”
“Jakim tidak berperlembagaan,” katanya.
Jakim diumumkan secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Antara lain, ia turut menguruskan pensijilan halal, industri yang dipercayai bernilai berbilion dolar.
Zamihan mempertahankan Jakim dengan berkata, jabatan itu terus relevan, selagi ia tidak bertindak melepasi hadnya, mengganggu kestabilan agama atau melakukan sesuatu yang menjejaskan bidang kuasa negeri.
“Ironinya, umat Islam seluruh negara dan dunia amat berbangga dengan visi dan misi Jakim berbanding prestasi malap ahli Parlimen veteran Gua Musang berkenaan,” katanya merujuk Razaleigh.
Ku Li bukan orang pertama mempersoalkan status Jakim, jabatan kerajaan yang kerap didakwa mempromosikan Islam terlalu konservatif.
Pengkritik juga sering mempersoalkan peruntukan tahunan kepada Jakim yang kini mencapai RM1 bilion setiap tahun, termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang mempersoalkan peruntukan besar kepada jabatan itu, pada 2015.