Kanak-kanak ganti gadis seksi di Formula One

Kanak-kanak ganti gadis seksi di Formula One

Formula One berkata penggunaan kanak-kanak dalam acara pra-perlumbaan lebih relevan kepada peminat sukan permotoran.

grid-kids
PARIS: Selepas menghentikan “gadis litar” untuk menyerikan perlumbaan Formula 1, penganjur memperkenalkan inisiatif baharu melibatkan kanak-kanak.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) berkata langkah menggunakan “kanak-kanak litar” yang sudah terlibat dalam perlumbaan itu akan menjadikan sambutan acara pra-perlumbaan lebih relevan kepada peminat.

“Formula 1 adalah kemuncak sukan permotoran dan impian setiap pelumba muda yang bersaing dalam siri junior … daripada go-kart sehinggalah F1,” kata presiden FIA, Jean Todt di laman web organisasi itu.

“Oleh itu, kami sangat berbangga untuk membawa impian itu lebih dekat dengan memberi peluang kepada juara masa depan sukan kami berdiri bersama wira mereka di litar sebelum perlumbaan bermula.”

Liberty Media memiliki hak Formula One sejak Januari 2016 dan mengatakan ia cuba mencipta semula sukan itu agar lebih menarik.

“Walaupun amalan menggunakan gadis litar menjadi kebiasaan Formula 1 Grand Prix selama beberapa dekad, kami merasakan tradisi ini tidak sesuai dengan nilai jenama kami dan jelas bertentangan dengan norma masyarakat moden,” kata Pengarah Komersial F1, Sean Bratches minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.