Lagi serangan Najib ke atas Dr M di depan pelabur antarabangsa

Lagi serangan Najib ke atas Dr M di depan pelabur antarabangsa

Perdana menteri berkata, amalan 'kapitalisme kroni' dahulu tidak akan berulang dalam pentadbirannya.

Najib-Razak
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad di depan pelabur dan ahli perniagaan antarabangsa, dengan merujuk dasar luar berbentuk konfrontasi oleh seorang “bekas pemimpin”.

“Memang benar Malaysia mempunyai seorang bekas pemimpin yang mempunyai dasar luar bersifat konfrontasi, yang bertindak disebabkan kemarahan dan nampaknya tidak dapat melepaskan rasa tidak puas hati lamanya,” katanya dalam ucaptama pada Simposium Pasaran Modal Dunia 2018, hari ini.

Beliau berkata, pentadbirannya menjalin ikatan baharu dan “mengukuhkan hubungan dengan sahabat lama yang lain”, sereta tidak lagi “bercakap mengenai pertengkaran dahulu”.

Najib memetik pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong baru-baru ini, di mana mereka menandatangani beberapa perjanjian untuk membangunkan projek bersama susulan pemindahan tanah kereta api milik Malaysia di negara itu.

Najib sering mengkritik Dr Mahathir tanpa menamakannya, selain membidas pembangkang.

Dalam perutusan tahun 2018, Najib membangkitkan “kesilapan lalu” dan seorang lelaki dengan “keinginan dinasti yang mementingkan diri” untuk menggulingkan kerajaan dan memenuhi impian anaknya, dalam apa yang dipercayai merujuk kepada tuduhan biasa dilemparkan kepada pengerusi Pakatan Harapan itu.

Pada Julai lalu, Najib menyerang Pakatan Harapan dan seorang “ahli politik pencen” di depan lebih 900 hadirin acara Invest Malaysia 2017 dengan menyifatkan struktur rasmi pimpinan pembangkang yang baru diumumkan ketika itu seperti “program kembali bekerja” untuk ahli politik lama.

Beliau menyifatkan barisan pimpinan itu mengarut dan tidak menjelaskan kedudukan sebenar kerana tidak diketahui pemimpin mana yang mempunyai kuasa eksekutif.

Hari ini, Najib berkata, kerajaannya akan memastikan “kapitalisme kroni” dahulu tidak berulang.

“Kami sedang menginstitusikan fokus baharu dalam tadbir urus korporat digabungkan dengan pengawasan ekonomi kukuh,” katanya.

Najib hentam Dr Mahathir dan PH di hadapan pelabur asing

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.