
“Ketua Pengarah JPPM telah memulakan siasatan dan mungkin penelitian dokumen sedang diadakan. Kita minta JPPM bukan hanya sekadar memulakan, malah pertingkatkan siasatan untuk memenuhi aduan berkenaan,” kata Zahid yang juga menteri dalam negeri, selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini.
“Tahap kebolehpercayaan JPPM cukup tinggi dalam melakukan siasatan terhadap penubuhan badan politik, ” katanya.
Pada 12 Januari lalu, JPPM berkata pihaknya sedang menyiasat lebih 400 aduan yang diterima berkaitan isu perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM pada Disember lalu.
Susulan itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM menyifatkan tindakan ahli PPBM itu sebagai taktik kotor.
Menurutnya, ia adalah usaha pihak tertentu untuk memastikan PH tidak dapat didaftarkan.
Sebelum ini, JPPM berkata kegagalan PPBM mengadakan perhimpunan tahunan sebagai salah satu sebab PH yang dianggotai oleh parti itu tidak boleh diluluskan.
PPBM mengadakan AGM pertama di Shah Alam pada 30 Disember lalu, lebih setahun selepas didaftarkan pada September 2016.