Badan peguam gesa jangan hantar pulang 11 orang Uighur ke China

George-Varughese-5

KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia hari ini menggesa kerajaan tidak menghantar pulang 11 orang Uighur yang dilaporkan berada dalam tahanan di Malaysia ke China.

Presiden George Varughese berkata kerajaan tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab undang-undang dan moral dan tidak mengusir individu itu ke keadaan yang mungkin membahayakan nyawa mereka.

Beliau berkata Putrajaya tidak seharusnya mengusir 11 orang itu atas alasan memerangi keganasan antarabangsa atau pelaburan besar dari China.

Varughese menggesa kerajaan mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa dan tidak mengulangi apa yang pernah dilakukan pada Ogos 2011 iaitu menghantar pulang 11 orang Uighur yang menetap di Malaysia ke China. Nasib 11 orang itu tidak diketahui sehingga kini.

Menurut laporan, 11 orang Uighur yang kini berada dalam tahanan Malaysia daripada sekumpulan 20 orang yang melarikan diri dari pusat tahanan di Thailand November lalu. Mereka ditahan atas kesalahan imigresen, selepas melarikan diri dari Xinjiang kerana bimbangkan keselamatan mereka dan sedang menuju ke Turki.

Varughese dalam kenyataan berkata kerajaan China melihat Uighurs sebagai pengganas yang menggugat pemerintahan China ke atas wilayah mereka.

“Rekod kerajaan dalam menghormati undang-undang antarabangsa tidak memuaskan. Selain 11 orang Uighur yang dihantar pulang ke China pada Ogos 2011, kerajaan juga secara paksa menahan 3 warga Turki pada Mei 2017 dan menghantar mereka pulang ke Turki atas permintaan kerajaan Turki, yang mendakwa individu terbabit mempunyai kaitan dengan percubaan rampasan kuasa di Turki pada 2016. Nasib mereka juga tidak diketahui.”

Beliau berkata pada Februari 2012 kerajaan menahan wartawan Arab Saudi, Hamza Kashgari dan menghantarnya pulang ke negara itu atas permintaan kerajaan Arab Saudi kerana memuatnaik komen di Twitter yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

“Ini berlaku walaupun ada perintah mahkamah di Malaysia menghalang penghantaran pulang itu. Kashgari dikenakan hukuman penjara 20 bulan di Arab Saudi.

“Kemungkinan 11 orang Uighur itu dihantar pulang ke China menimbulkan kebimbangan sama ada kerajaan Malaysia akan menghantar pulang pelarian atau pencari suaka secara paksa dan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Menyedari China dan Malaysia pernah menandatangani perjanjian bantuan perundangan bersama dalam perkara-perkara jenayah pada November 2015, Varughese berkata Seksyen 8 Akta Ekstradisi Malaysia 1992 melarang ekstradisi dalam keadaan-keadaan tertentu.

Salah satunya apabila kesalahan individu yang mahu dihantar pulang itu bersifat politik atau individu berkenaan membuktikan kepada menteri bahawa waran untuk hantar pulang itu dibuat dengan hasrat untuk cuba atau menghukumnya atas kesalahan bersifat politik.

Satu lagi jika permintaan untuk penyerahannya, walaupun dikatakan dibuat untuk kesalahan ekstradisi, sebenarnya, dibuat bertujuan untuk mendakwa atau menghukum seseorang atas sebab bangsa, agama, kewarganegaraan atau pendapat politik.

Sebab ke-3 adalah jika dia mungkin diprejudis dalam perbicaraannya atau dihukum atau dipenjarakan disebabkan bangsa, agama, kewarganegaraan atau pendapat politik, kata Varughese.

“Badan Peguam mengingatkan kerajaan jangan mengetepikan pertimbangan ke atas peruntukan-peruntukan itu. Kerajaan tidak boleh bersembunyi sebalik alasan kerjasama antarabangsa dalam memerangi keganasan, sebagai alasan untuk menghantar pulang orang Uighur ke China. Faktor lain seperti pelaburan asing yang besar dari China di Malaysia juga tidak sepatutnya memainkan peranan.

“Badan Peguam menyeru kerajaan, sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, supaya menghormati dan menegakkan peraturn dan amalan undang-undang antarabangsa, dan peruntukan-peruntukan undang-undang Malaysia dan tidak menghantar pulang 11 orang Uighur ke China,” katanya.

Malaysia digesa jangan hantar pulang umat Islam Uighur ke China