SPR menang rayuan untuk halang inkuiri pindah pengundi tentera

Reuters pic
Reuters pic

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan kebenaran yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada 48 pengundi Segamat untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memasukkan nama 949 pengundi ke sebuah kem tentera belum siap dibina di kawasan Parlimen itu.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Hakim Tan Sri Idrus Harun, berkata rayuan SPR mempunyai merit dan pemfailan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman oleh kumpulan pengundi itu dilakukan terlalu awal.

“Kami mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Idrus dalam penghakiman sebulat suara.

Beliau berkata, panel itu memberi ruang kepada pengundi untuk menentukan tindakan lanjut mereka.

Pada 8 Januari lalu, kumpulan pengundi itu mendapat kebenaran Hakim Datin Azizah Nawawi untuk mempertikaikan keputusan SPR atas alasan ada keadaan khusus.

“Hakim mendapati di bawah peraturan yang menyatakan keputusan pegawai tidak boleh dikaji semula sebenarnya ialah ‘fasal penyingkiran’,” kata peguam Joanna Chua yang menjelaskan keputusan dibuat dalam kamar dan merujuk Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih).

Azizah turut membenarkan permohonan bagi menghalang SPR mewartakan nama 949 anggota tentera dan pasangan mereka dalam daftar pemilih Segamat sementara menunggu pelupusan kes itu.

SPR membantah cubaan pengundi untuk mendapat kebenaran terhadap semakan kehakiman itu atas alasan pengundi sepatutnya menggunakan semua cara di bawah Peraturan 20 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) sebelum membawa kes itu ke mahkamah.

Hari ini, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili SPR, Suzana Atan berkata Azizah melakukan kekhilafan dalam undang-undang dengan menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membenarkan permohonan itu.

“Tambahan, tiada keadaan luar biasa untuk membenarkan merit kes itu didengar.”

Peguam Michelle Ng yang mewakili kumpulan pengundi itu berkata, permohonan kebenaran itu difailkan pada Disember lalu selepas pendaftar pemilih menolak aduan anak guamnya dalam sebuah inkuiri.

Katanya, rayuan yang dikemukakan kepada pegawai terbabit untuk mengetepikan keputusan pendaftar, turut ditolak pada awal Januari lalu.

Kumpulan pengundi Segamat yang diketuai Abdul Wahab Hassan itu meminta mahkamah membatalkan keputusan SPR memasukkan nama 949 anggota tentera dan pasangan mereka sebagai pengundi baharu di kem tentera yang masih dalam pembinaan.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan tindakan SPR itu tidak berperlembagaan kerana anggota tentera dan keluarga mereka tidak tinggal di kawasan Parlimen itu.

Kumpulan pengundi itu dalam satu afidavit untuk menyokong permohonan mereka mendakwa kemasukan nama itu dalam daftar pemilih Segamat tidak sah kerana ia melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka berkata, ada banyak kesilapan ditemui dalam satu inkuiri awam dan pelanggaran keadilan asasi apabila SPR mengadakan pendengaran terbuka pada 4 hingga 10 Disember lalu.

Pendaftar pemilih bagaimanapun menolak aduan mereka selepas inkuiri itu.

DAP sebelum ini mempertikaikan tindakan memindahkan kumpulan anggota tentera itu dan sama ada ia bertujuan menyelamatkan kerusi Parlimen itu daripada jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU13, Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menewaskan calon PKR, Datuk Dr Chua Jui Meng dengan majoriti 1,217 undi.

Sementara itu, peguam utama, Gobind Singh Deo memberitahu wartawan, beliau akan meminta arahan kumpulan pengundi itu sama ada mereka mahu merayu keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan permohonan kebenaran baharu bagi semakan kehakiman.

“Memandangkan mahkamah hari ini berpendapat permohonan kami sebelum ini terlalu awal kerana kami tidak menunggu keputusan dibuat pegawai (SPR), kami mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula permohonan baharu.”

SPR cabar cubaan keluarkan ‘pengundi kem tentera’ di mahkamah