Saudi batal undang-undang paksa isteri kekal dalam perkahwinan tak bahagia

Saudi batal undang-undang paksa isteri kekal dalam perkahwinan tak bahagia

Kini memaksa seorang wanita kembali kepada suami selepas memohon perceraian menyalahi undang-undang.

saudi-wanita
Gambar AFP
PETALING JAYA:
Arab Saudi tidak lagi menggunapakai undang-undang memaksa wanita yang menuntut cerai kembali kepada suami mereka, lapor portal Stepfeed.

Memetik laporan akhbar tempatan Okaz, mulai sekarang si suami diberi pilihan sama ada menceraikan si isteri dengan baik atau kes mereka akan diadili di mahkamah.

Penggubal undang-undang Saudi berkata Kementerian Kehakiman Arab Saudi akan berpandukan kepada Perkara 75 dalam undang-undang nikah dan cerai Arab Saudi yang menjadikan memaksa seorang wanita kembali kepada suami selepas memohon perceraian menyalahi undang-undang.

Menurut Okaz, keputusan untuk meluluskan perintah itu sudah lama diusahakan dan berlaku ketika hak asasi wanita di Arab Saudi sedang ditambahbaik.

Penambahbaikan ini sebahagian daripada kempen “reformasi” sosial dan ekonomi Arab Saudi oleh gandingan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bagi menarik pelaburan swasta asing dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak yang semakin susut.

Seorang peguam dipetik sebagai berkata sebelum ini jika si suami enggan menceraikan isteri dengan baik, wanita itu diminta kembali kepada suami secara sukarela, dan sekiranya masih enggan selepas diberitahu sebanyak 3 kali, wanita itu akan dikembalikan kepada suami dengan iringan polis.

Keputusan itu disambut baik oleh beratus-ratus warga Saudi di media sosial dengan tanda pagar #houseofobediance.

“Bayangkan dipaksa tinggal bersama seseorang yang kita tidak boleh diterima,” kata Nada, seorang wanita dari pekan Rabigh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.