Musa: Pimpinan KDM seperti Pairin, Madius, Maximus, Kurup pejuang Sabah sebenar

Musa: Pimpinan KDM seperti Pairin, Madius, Maximus, Kurup pejuang Sabah sebenar

Beliau berkata Shafie Apdal merampas seruan "Sabah untuk Sabah" daripada pejuang-pejuang ini.

musa-aman-bn
Musa Aman (tengah, baris depan) bersama pimpinan dan perwakilan PBS, PBRS dan Upko di konvensyen jentera pilihan raya di Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU:
Pimpinan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dalam Barisan Nasional antara pejuang pembangunan dan masa depan Sabah yang sebenar, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Antara pejuang itu ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili dan Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Musa mempertikaikan motif Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal menggunakan slogan “Sabah untuk Sabah”.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin KDM veteran itulah yang selama ini berjuang untuk Sabah dan bukannya Shafie.

Beliau menuduh Shafie merampas slogan itu.

Musa berucap di pelancaran konvensyen PBS, PBRS dan Upko hari ini dalam persediaan jentera mereka menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Musa menepis dakwaan Shafie dan pemimpin Warisan berjuang untuk hak Sabah.

“Dia kata dia berjuang untuk hak Sabah tetapi pemimpin-pemimpin di dewan inilah yang sebenarnya pejuang untuk hak rakyat,” katanya kepada perwakilan di konvensyen hari ini.

“Dia sebenarnya pengkhianat parti dan perjuangan kita dan tindakan disiplin diambil terhadap dia kerana kelakuannya.”

Musa berkata Shafie seorang yang angkuh semasa menjadi menteri luar bandar dan pembangunan wilayah serta tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri.

“Dia tidak pernah duduk berbincang dengan saya tentang bagaimana kementeriannya akan menyalurkan peruntukan untuk memenuhi keperluan Sabah,” katanya.

Musa berkata Shafie bukan seperti menteri persekutuan dari Sabah yang lain seperti Tangau, Kurup dan Ongkili yang selalu bertemu untuk berbincang tentang pembangunan Sabah.

“Kalau dia bersikap terbuka dan bekerjasama dengan kita, saya akan pergi ke Kuala Lumpur untuk membincangkan perkara berbangkit tetapi ini tidak berlaku. Dia sangat angkuh.”

Shafie meletakkan jawatan naib presiden Umno selepas disingkirkan sebagai menteri pada 2015 susulan kritikannya terhadap cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangani isu 1MDB.

Shafie kemudian menubuhkan Warisan.

Musa, yang juga pengerusi BN Sabah berkata, banyak projek di negeri itu berdepan masalah semasa Shafie menjadi menteri.

“Contohnya, seorang pegawai daerah beritahu saya kawasannya ada tiang lampu tapi tiada elektrik,” katanya.

“Saya dapat tahu tentang perkara itu selepas pegawai daerah itu sampaikan maklum balas terus kepada saya.

“Sudah tentu, Shafie pasti tahu tetapi apa yang dia lakukan untuk membetulkan masalah ini?”

Musa menggesa jentera pilihan raya parti-parti komponen BN bekerja keras melenyapkan pembohongan yang disebarkan pembangkang.

“Kita mesti turun ke padang dan guna media sosial supaya rakyat nampak kebenaran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.