PPSMI cuma janji ‘bulan dan bintang’ PH, kata Mahdzir

PPSMI cuma janji ‘bulan dan bintang’ PH, kata Mahdzir

Menteri pendidikan berkata Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dimansuhkan oleh Muhyiddin Yassin.

Mahdzir-Khalid_sekolah_facebook
Gambar Facebook
KUALA NERANG:
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menempelak Pakatan Harapan (PH) yang mahu memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya menang pada pilihan raya umum ke-14.

Menyatakan ia sebahagian daripada janji ‘bulan dan bintang’ PH, Mahdzir berkata dasar yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003 dimansuhkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memegang jawatan menteri pelajaran ketika itu.

“Kalau nak kira bantahan pada zaman itu, orang pembangkang pun buat bantahan, kemudian bila datang Muhyiddin jadi menteri dia yang hapuskan PPSMI, hari ini Dr Mahathir cakap pula pasal nak kembalikan PPSMI jadi saya anggap itu sebahagian daripada janji-janji PH, esok lusa janji lain lagi,” katanya selepas menyampaikan bantuan persekolahan di SMK Kuala Nerang hari ini.

Mahdzir berkata, ketika ini terdapat 2 program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) yang dilaksanakan di 10,000 sekolah dan Program Dua Bahasa (DLP) yang kini ada di 1,500 sekolah seluruh negara.

“Kalau PH nak buat program yang dia janji, itu hak dia, pada saya kita sudah ada program yang kita laksanakan sekarang ini dan kalau ada apa-apa kita nak buat ke hadapan lagi ia bergantung atas kesesuaian antara masyarakat, sekolah dan kemampuan kita kendalikan sesuatu program,” katanya.

Mahdzir berkata perkara itu bersesuaian dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menegaskan perkara asas Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak perlu diubah oleh mana-mana menteri pendidikan ketika menerajui kementerian berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.