Irmohizam cadang tubuh jawatankuasa pendidikan ‘Penyata Najib’

Irmohizam cadang tubuh jawatankuasa pendidikan ‘Penyata Najib’

Penyata itu penerus kepada "Penyata Razak" untuk menentukan hala tuju baru pendidikan Malaysia.

Irmohizam-Ibrahim
Gambar Facebook
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa kaji selidik untuk membentangkan cadangan sistem pendidikan negara baharu yang dinamakannya sebagai “Penyata Najib”.

Irmohizam berkata penyata pendidikan itu penerus kepada “Penyata Razak” untuk menentukan hala tuju baru pendidikan Malaysia.

Penyata Razak dibentangkan pada 1956 bagi membentuk semula sistem pendidikan di Tanah Melayu, dinamakan sempena menteri pendidikan ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, yang juga bapa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

“Sudah tiba masanya dasar pendidikan negara dikaji semula secara menyeluruh. Saya ingin mencadangkan satu jawatankuasa untuk memantapkan sistem pendidikan negara.

“Saya ingin cadangan hasil kajian ini dinamakan Penyata Najib. Jika sebelum merdeka, Penyata Razak 1956 dirangka untuk bentuk sistem pendidikan kebangsaan.

“Maka, penyata Najib akan menjadi mekanisme utama dalam menentukan hala tuju pendidikan negara, bagi hadapi cabaran revolusi perindustrian,” katanya sewaktu berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Penyata Razak mencadangkan 17 perkara antaranya sukatan sama di semua sekolah; Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama; Bahasa Melayu dan Inggeris diwajibkan di semua sekolah; Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan; dan guru-guru mestilah berkelayakan dan diletakkan bawah satu perkhidmatan profesional.

Penyata itu disusuli dengan Penyata Rahman pada 1961, yang mencadangkan antaranya penekanan pada “Membaca, Menulis dan Mengira” dan mewujudkan aliran akademik dan vokasional.

Sebelum ini, Najib berkata tumpuan sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum akan datang ialah mempersiapkan sistem pendidikan negara untuk Revolusi Industri 4.0.

Revolusi 4.0 melibatkan sistem siber-fizikal, Internet of Things, pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif. Revolusi ini sebahagian trend kemajuan industri dari revolusi pertama (penjenteraan, kuasa air dan stim), revolusi kedua (pengeluaran besar-besaran, barisan pemasangan, elektrik) dan revolusi ketiga (komputer dan automasi).

Kaji prosedur tindakan disiplin

Sementara itu, Irmohizam berkata jawatankuasa yang dicadangkan ini juga perlu mengkaji kejadian tidak diingini membabitkan guru dan pelajar, mengambil contoh kes M Vasanthapiriya di Pulau Pinang tahun ini dan kes Azizan Manap di Negeri Sembilan tahun lepas.

“Jawatankuasa ini juga untuk mengkaji semula prosedur tindakan disiplin dikenakan kepada murid yang melanggar peraturan sekolah dan mencari mekanisme atasi masalah ini.

“Bahkan, peranan PIBG perlu diperkasakan sebagai penghubung diantara pentadbir sekolah, murid dan ibu bapa. Jika ada ibu bapa tidak puas hati, mereka juga perlu rujuk kepada PIBG,” katanya.

M Vasanthapiriya, 13, meninggal dunia pada 1 Februari lalu selepas cuba membunuh diri apabila didakwa mencuri telefon bimbit gurunya.

Enam laporan polis dibuat berhubung kes itu termasuk 2 daripada guru terbabit dan kes itu sudah dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya.

Azizan Manap, 44, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencederakan seorang murid, 11, kerana menampar murid itu atas masalah disiplin.

Mahkamah Majistret melepaskan tanpa membebaskan beliau pada 19 Disember lepas, selepas Jabatan Peguam Negara menarik balik pertuduhan kes itu.

PM: Sistem pendidikan antara penyebab pembahagian kaum

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.