Kakitangan JKM didakwa perdaya penerima bantuan

Kakitangan JKM didakwa perdaya penerima bantuan

Tertuduh didakwa meminta wang RM450 daripada penerima bantuan atas alasan JKM memberi lebihan wang bantuan sedangkan ia tidak berlaku.

Free Malaysia Today
Gambar Reuters
KUALA TERENGGANU:
Seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memperdayakan seorang penerima bantuan jabatan itu tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Ayub Ab Halim, 34, dituduh meminta wang RM450 daripada penerima bantuan, Sylvian Irmn Dewoll @ Abd Rahman atas alasan JKM memberi lebihan wang bantuan sedangkan ia tidak berlaku.

Bagaimanapun pengadu tetap memberikan RM200 kepada tertuduh bagi menyelesaikan masalah tersebut sedangkan wang yang patut diterima pengadu adalah benar seperti yang dibayar oleh JKM.

Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan itu di No 3623, Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu, 29 Oktober 2017.

Bagi pertuduhan itu, Ayub melakukan kesalahan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417, Akta 574, iaitu penjara maksimum 5 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz, menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dan 10 April depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amer Abu Bakar Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.