BNM: Tiada caj tambahan dibenar atas bayaran kad debit, kredit

BNM berkata, satu sebab peruncit mengenakan caj tambahan bertujuan mendapatkan semula kos yang dikenakan kepada mereka kerana menerima bayaran kad. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Peruncit tidak dibenar mengenakan caj tambahan ke atas bayaran menggunakan kad debit atau kredit, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, larangan itu diperuntukkan di bawah Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran yang diperkenalkan BNM dan peraturan skim kad antarabangsa seperti Visa dan MasterCard.

“Larangan caj tambahan itu dipantau dan dikuatkuasakan bank-bank yang menyediakan kemudahan e-bayaran kepada pedagang.

“Pengguna yang berdepan pedagang mengenakan caj tambahan dinasihatkan membuat aduan kepada bank berkenaan atau pengeluar kad bayaran,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Bank pusat itu mengulas gesaan kumpulan pengguna untuk mengkaji semula caj tambahan dikenakan ke atas transaksi kad debit dan kredit.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George berkata caj tambahan yang dikenakan ke atas kaedah bayaran semakin popular itu tidak adil buat pengguna.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman berkata larangan caj tambahan itu akan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan kad debit dan kredit sebagai kaedah bayaran.

BNM berkata, satu sebab peruncit mengenakan caj tambahan bertujuan mendapatkan semula kos yang dikenakan kepada mereka kerana menerima bayaran kad.

Katanya, peruncit biasanya mengenakan bayaran transaksi dikenali sebagai Kadar Diskaun Peniaga (MDR).

Secara umumnya, MDR untuk kad kredit lebih tinggi daripada MDR bagi kad debit.

BNM berkata, negara lain mengguna pakai pendekatan berbeza dalam menangani caj tambahan yang dikenakan peruncit ke atas bayaran kad.

Katanya, peruncit di Kesatuan Eropah dan United Kingdom dilarang mengenakan caj tambahan kepada pengguna atas transaksi kad kredit dan debit.

Bagaimanapun, di Australia, peruncit boleh mengenakan caj tambahan kepada pengguna yang menggunakan kad lebih mahal seperti kad kredit.

Di Malaysia, BNM berkata, pihaknya memperkenalkan langkah seperti Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran dan Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Operasi bagi mengurangkan kos kepada peruncit apabila menerima kaedah bayaran elektronik keberkesanan kos.

“Ini akan mengurangkan tekanan kepada peruncit untuk mengenakan caj tambahan kepada pengguna.

“Untuk memanfaatkan kos operasi lebih rendah, peruncit digalakkan menerima kaedah bayaran keberkesanan kos, contohnya kad debit dan bayaran mudah alih (pemindahan wang segera).

“Peruncit yang tidak mampu membayar MDR lebih tinggi untuk kad kredit digalakkan berhubung dengan bank berkaitan untuk hanya menerima bayaran kad debit.”