Aktivis Felda Mazlan Aliman direman 5 hari

Gambar Facebook

PETALING JAYA: Mahkamah meluluskan reman selama 5 hari ke atas pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman sehingga 25 Mac ini, kata peguam.

Wan Anwar Wan Ibrahim berkata Mazlan ditahan di Balai Polis Jinjang selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta untuk permohonan reman.

Beliau berkata Mazlan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan ke atas Mazlan berhubung video di Facebook sebelum ini. Beliau dibawa dari Ibu Pejabat Polis Derah Kulai, Johor dan tiba di mahkamah 3.30 petang tadi, dan selepas mendapat kebenaran reman, Mazlan dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang,” katanya.

Polis malam tadi menahan Mazlan selepas laporan polis dibuat terhadapnya oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Isnin, selepas ahli jawatankuasa pusat Amanah itu mendakwanya terlibat dalam projek penternakan ikan sturgeon yang gagal dilaksanakan selepas memakan belanja berjuta ringgit oleh Felda.

Projek itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu yang turut menangkap beberapa pegawai Felda.

Mazlan di satu program ceramah bulan ini mendakwa beliau diberitahu seorang pegawai Felda yang ditahan SPRM bahawa projek itu mendapat “restu” Datuk Seri Najib Razak, di mana isteri beliau Rosmah menasihatkan pegawai Felda cara menggerakkan projek terbabit.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya untuk kesalahan memfitnah.

Sementara Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya untuk kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.