Kajian tambah landasan ECRL sedang dijalankan

Kajian tambah landasan ECRL sedang dijalankan

Rahman Dahlan berkata berdasarkan kajian, memang wujud keperluan membina terus 2 landasan bagi projek sepanjang 688km berkenaan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membuat kajian keperluan menambah landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) daripada 1 landasan kepada 2 landasan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata berdasarkan kajian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Malaysia Rail Line Sdn Bhd, memang wujud keperluan membina terus 2 landasan bagi projek sepanjang 688km berkenaan.

“Ini masih dalam kajian sekarang ini dan kita akan umum dalam masa terdekat. Sebab pertimbangan kita adalah kos, kalau yang asalnya ‘double formation single track’, sudah tentulah komprominya ialah kepantasan, jaminan dan keselamatan.

“Tetapi kalau ‘double formation double track’ sudah tentu lebih efisien dan lebih mampu diurus lebih baik terutama dari segi jadual dan kelajuan kereta api,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman berkata perancangan awal pembinaan ECRL itu, yang dijangka siap pada 2024, dari Gombak ke Tumpat, Kelantan, melibatkan kos RM55 bilion, antara lain bagi membiayai kos pemerolehan tanah.

Katanya, sekiranya cadangan pembinaan dua landasan itu dipersetujui, sudah tentu ia melibatkan kos tambahan.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang melakukan kajian menyambung landasan dari Gombak ke Pelabuhan Klang, bagi memudahkan barangan kargo terus dihantar ke pelabuhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.