JPPM jawab media, bukan kami, kata PPBM

JPPM jawab media, bukan kami, kata PPBM

Parti itu menuduh JPPM tidak berfungsi sebagai jabatan kerajaan dan berkata ia sengaja melengahkan pendaftaran PH.

Free Malaysia Today
Peguam PPBM Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata parti itu masih mempunyai tempoh menjawab sehingga 28 Mac ini.
PETALING JAYA:
PPBM mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sengaja mengada-adakan alasan melengahkan proses pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sejak dari awal permohonannya pada Julai tahun lepas

Parti itu turut mempersoalkan JPPM yang menurutnya lebih gemar membuat kenyataan media daripada menjawab secara rasmi sebagaimana sepatutnya bagi sebuah jabatan kerajaan.

“PH buat permohonan untuk pendaftaran sudah lama iaitu sejak 7 atau 8 bulan yang lalu,” kata peguam PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla kepada FMT.

“Tidak ada maklum balas apa-apa diberi kepada PH pada masa itu, sehinggalah PH membuat pertemuan jumpa dengan JPPM, barulah diberitahu secara lisan tentang masalah dihadapi, tetapi bukan secara bertulis.”

Pada 23 Mac lalu, JPPM mengesahkan pendaftaran PH pada masa ini masih tidak dapat diproses.

Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim berkata, oa berikutan kegagalan PPBM, satu daripada 4 parti komponen yang menyertai gabungan itu, menjawab dan menyerahkan semua maklumat dan dokumen sepertimana dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

Sebelum itu pada 9 Mac lepas, JPPM dilaporkan mengeluarkan satu notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 kepada PPBM yang menghendaki parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen kepada jabatan berkenaan.

Notis itu merujuk kepada arahan untuk mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta laporan perihal penyata kewangan parti.

Haniff turut mempersoalkan kenapa JPPM perlu mengeluarkan kenyataan media lebih awal dari tarikh notis untuk PPBM menjawab.

Masa yang diberikan adalah sebulan untuk dijawab PPBM, iaitu dari 28 Februari. Antara lain, ia memerlukan parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen berkaitan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti, atau berdepan risiko dibubarkan.

“PPBM sedang berurusan dengan JPPM dengan notis dan JPPM keluarkan kenyataan kononnya tidak dapat selesaikan permohonan PH semata-mata PPBM belum patuhi.

“Tunggulah dulu sama ada PPBM boleh patuh atau tidak. Bahagian mana dipatuhi dan tidak patuhi. Apakah alasan tidak dipatuhi. Itu akan terjawab apabila PPBM hantar kepada JPPM,” katanya.

Haniff berkata JPPM hanya menjawab desakan PH apabila PPBM memfailkan tindakan mahkamah pada 22 Februari lepas, menyebabkan satu notis dikeluarkan kepada PPBM pada 28 Februari.

Pada 31 Oktober lepas, Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat berkata, JPPM masih menilai permohonan PH.

Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, jawapan itu tidak mencukupi kerana tidak menjelaskan kenapa ia mengambil masa terlalu panjang menentukan kesalahan dilakukan oleh pihaknya.

“Kami berjanji patuh segala syarat yang munasabah yang dikenakan kepada kami supaya dapat diluluskan segera,” katanya ketika itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.