Najib kritik pembangkang mahu batalkan kontrak China

Perdana Menteri ketika berucap di majlis pelancaran pinjaman mikro bagi tujuan E-dagang untuk usahawan muda.

SERDANG: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengkritik pembangkang yang mahu membatalkan kontrak ditandatatangani kerajaan dengan China sekiranya mereka berkuasa.

Perdana menteri berkata pembangkang tidak bertanggungjawab kerana tidak memikirkan kesan tindakan itu kepada negara, termasuk ke atas produk tempatan seperti minyak sawit.

Najib membidas pembangkang kerana bermain dengan hubungan baik Malaysia-China untuk agenda politik mereka.

“Bayangkan hubungan anda yang renggang dengan China…tidak membeli produk kita, tidak membeli produk industri kecil dan sederhana (IKS) kita, minyak sawit.

“Bayangkan apa akan terjadi pada ekonomi kita,” katanya di majlis pelancaran pinjaman mikro bagi tujuan E-dagang untuk usahawan muda di Wisma Huazhong hari ini.

Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah mengisytiharkan akan menilai semula kontrak yang dimeterai negara dengan syarikat asing jika berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia terutama bagi kontrak yang melibatkan aset strategik negara.

Pembabitan China dalam beberapa projek besar menguja pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak, yang mengalu-alukan pelaburan besar dan kemudahan pinjaman daripada gergasi ekonomi itu, tetapi khuatir akan faedah yang tinggi dan pemilikan asing.

Antara projek yang menjadi perhatian ialah Forest City di Johor (AS$100 bilion), Landasan Keretapi Pantai Timur dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor (AS$13 bilion), Melaka Gateway di Melaka (AS$10 bilion), Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi di Melaka (AS$2.92 bilion), naik taraf Pelabuhan Kuantan di Pahang (AS$900 juta), Robotic Future City di Johor (AS$3.46 bilion), Kompleks Keluli Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak (AS$3 bilion), tebus guna tanah dermaga di Seri Tanjung Pinang, Pulau Pinang (AS$540 juta), taman teknologi hijau di Pekan, Pahang (AS$470 juta), loji metanol deratif di Tanjung Kidurong, Sarawak (AS$190 juta) dan The Shore di Kota Kinabalu (AS$130 juta).

Keseluruhan perdagangan Malaysia-China meningkat 20.6% kepada RM290.65 bilion tahun lepas, dan keseluruhan eksport meningkat 28% kepada RM126.15 bilion.

Sementara itu, Najib mengumumkan peruntukan RM25 juta akan disalurkan ke skim e-dagang pinjaman mikro ini untuk usahawan muda Cina dalam lingkungan usia 18-45 tahun.

Najib berharap ia akan membolehkan negara mencapai keputusan besar yang pantas khususnya dalam 3 bidang.

“Pertama, memupuk ‘usahawan teknologi’ dikalangan orang muda. Kedua, meningkatkan taraf kehidupan dikalangan orang muda. Kedua-duanya dalam pendapatan dan kualiti kehidupan.

“Ketiga, mengubah IKS tradisional supaya dapat kekal kompetitif dan relevan serta membantu produk tempatan menjadi global,” katanya.