
Azmi berkata ada pemimpin kerajaan sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengaitkan sistem cukai itu dengan harga barang di pasaran.
“Sedangkan tujuan utama GST adalah memastikan peniaga tidak lari daripada membayar cukai kepada kerajaan.
“Namun, kenyataan pemimpin itu sudah diputar belit serta ditularkan, menyebabkan orang ramai percaya apa disebarkan di media sosial.
“Dalam hal berkenaan, saya berpendapat jika GST diperjuangkan kastam bukannya pemimpin tertentu, ia pasti tidak akan menjadi isu besar seperti mana berlaku hari ini,” katanya.
Pakar Strategis Geopolitik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata isu GST akan dijadikan modal menyerang kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Beliau menambah permainan persepsi mengandungi mesej tersirat yang dapat mengaburi mata dan modus operandinya sentiasa berlaku di media sosial khususnya menyasarkan golongan muda.
Media sosial dianggap medium paling efektif dalam permainan persepsi kerana gambar dan berita disebarkan boleh dirancang khususnya bagi tujuan politik, katanya.
“Isu politik sememangnya kritikal dan menjadi bualan 24 jam sehari terutamanya menjelang pilihan raya.
“Semua pihak terutama pemimpin dan ahli politik kerajaan perlu berhati-hati dalam berdepan permainan persepsi,” katanya pada sesi bual bicara Percaturan Persepsi Mengaburi Pemikiran Rakyat di Bangunan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) Tun Siti Hasmah hari ini.
Program anjuran Bakti itu turut dihadiri Yang Dipertua Bakti Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga isteri perdana menteri.
Sebelum ini, Datuk Ahmad Maslan yang juga timbalan menteri kewangan semasa GST dilaksanakan berkata cukai itu boleh menurunkan harga barang.
Kenyatan itu mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak.