
Percaturan kali ini menyaksikan penyandang Kepong, Tan Seng Giew, tidak tersenarai dalam pasukan PRU14, selepas 8 penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Tan terkenal di dalam DAP kerana pandangannya yang berterus-terang, dan sering menegur pimpinan parti. Pada Jun tahun lepas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendedahkan Tan tidak berhubungan dengan pimpinan parti sejak awal tahun lalu.
Penyandang kerusi Segambut, Lim Lip Eng berpindah ke Kepong, sementara kerusi Segambut diambil Hannah Yeoh, yang dikatakan mahu mencuba kawasan baharu selepas selesa berkhidmat sebagai wakil rakyat Subang Jaya.
Pasukan DAP tidak menyaksikan banyak perubahan kecuali pergerakan Hannah dan Lim.
Calon kawasan lain kekal tidak berubah di mana Teresa Kok bertahan di Seputeh, Fong Kui Lun di Bukit Bintang dan Tan Kok Wai di Cheras.

Hannah, seorang Adun 2 penggal, memenangi kerusi Subang Jaya pada 2008 dengan majoriti 13,581 undi melawan calon BN, Ong Chong Swen, dan menambah majoriti kepada 28,069 apabila ditentang calon BN, Gan Meng Foo pada 2013.
Hannah disahkan akan mengosongkan DUN Subang Jaya.
Sementara bagi Tan pula, beliau memenangi kerusi majoriti Cina itu dengan majoriti terbesar pada pilihan raya 2013 sejak kemenangan pertamanya pada 1978.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan itu menceburi politik pada usia 34 bersama Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas) pada 1976. Beliau berkhidmat sebagai seorang pakar perubahan dalam tentera selama 1 tahun pada 1971.
Beliau pertama kali diletakkan sebagai calon di kerusi Kepong pada 1978 atas tiket Pekemas tetapi tewas dalam pertarungan 4 penjuru.
Tan memenangi kerusi itu pada pilhan raya 1982 dan bertahan di situ sejak itu. Beliau juga pernah menjadi pengerusi DAP Selangor dari 1982 hingga 1987.
Beliau mempertahankan Kepong pada PRU13 dengan majoriti 40,307 undi, menewaskan 2 pencabar, Chandrakumanan Arumugam dari PPP dan calon bebas Yee Poh Ping.
Lim pula pertama kali terpilih sebagai wakil rakyat Segambut pada PRU13 apabila menewaskan calon BN, Ma Woei Chyi dengan perbezaan 7,732 undi di kerusi yang dianggap kubu kuat BN itu.
Pada PRU13, Lim jauh meninggalkan pencabarnya, Jayanthi Devi dari BN, dengan perbezaan 19,199 undi.