Musa: Shafie keluar parti kerana mahu jawatan TPM

Musa: Shafie keluar parti kerana mahu jawatan TPM

Ketua menteri Sabah membidas presiden Warisan kerana memberikan yang alasan yang lemah mengenai pemergiannya.

Free Malaysia Today
Musa Aman menyeru Shafie Apdal supaya berterus-terang.
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengingatkan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal bahawa dia terpaksa keluar Umno selepas menyedari dia tidak mungkin dapat menenuhi cita-cita besarnya.

Musa memberitahu bekas menteri itu supaya tidak mengelak daripada isu itu dan memberikan alasan yang lemah mengenai pemergiannya daripada Umno.

Beliau berkata tidak boleh dinafikan lagi bahawa Shafie “menikam belakang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak”.

“Selepas gagal mendapatkan jawatan ketua menteri Sabah seterusnya, Shafie bekerjasama dengan seorang lagi penentang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mahukan jawatan timbalan perdana menteri.

“Bukan saya mahu mengacum tetapi saya perlu cakap sesuatu. Mari berterus terang. Sebab itu kenapa beliau memilih untuk keluar parti,” katanya.

Beliau menambah Shafie terlebih dahulu membuat perjanjian dengan “penentang-penentang”, termasuk bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno pada Jun 2016 dan Shafie kemudian meninggalkan parti itu selepas keahliannya digantung.

“Mendakwa bahawa beliau lebih mementingkan ‘masa depan negara’ berbanding persahabatannya dengan Najib adalah satu jenaka,” katanya.

Shafie dalam kenyataan semalam berkata Musa “tidak berasa selesa semasa saya menjadi naib presiden Umno”.

“Barangkali sekarang apabila saya mengetuai Warisan, Musa melihat saya sebagai ancaman lebih besar kepada pentadbirannya dan hayat Umno di negeri ini,” kata Shafie.

Musa menyeru Shafie supaya menunjukkan sedikit kematangan berpolitik daripada berkelakuan seperti budak sekolah dengan mengatakan beliau tidak selasa dengan kedudukannya sebagai naib presiden.

“Jika saya rasa tidak selesa, saya sendiri akan bertanding untuk jawatan itu. Bukan sahaja saya tidak bertanding bagi jawatan naib presiden, saya juga tidak bertanding bagi jawatan majlis tertinggi. Saya tidak berbuat demikian kerana komitmen saya sebagai ketua menteri,” katanya.

Sementara itu, Musa berkata Najib yang membantu Shafie menjadi naib presiden, memberikan porfolio yang penting iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan harapan beliau akan membantu Sabah.

“Tetapi dia mensia-siakan peluang itu kerana mementingkan diri sendiri dan agenda yang menimbulkan kesangsian,” kata Musa, dan menambah Shafie kini menubuhkan parti bersama kroni-kroninya semasa memegang jawatan.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.