Lebih ramai calon wanita dari PAS pada PRU ini

Lebih ramai calon wanita dari PAS pada PRU ini

PAS dijangka mengumumkan senarai calon di Kelantan pada Khamis depan.

Free Malaysia Today
Kesemua calon wanita PAS di Kelantan menang pada PRU lalu.
PETALING JAYA:
PAS Kelantan dijangka akan menampilkan lebih daripada 3 calon wanita di peringkat kerusi negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pengumuman rasmi bakal calon yang akan mewakili PAS bagi 45 kerusi DUN dan 14 Parlimen akan dibuat pada 19 April ini.

“Saya boleh mengesahkan calon wanita bertambah dari sedia ada, sebelum ini 3 orang,” katanya kepada FMT menepis dakwaan parti Islam itu akan mengurangkan pencalonan wanita di Kelantan.

Pada pilihan raya lepas, PAS Kelantan meletakkan 3 calon wanita bagi kerusi DUN, dan satu bagi kawasan Parlimen. Kesemua mereka menang.

Mereka ialah Mumtaz Md Nawi di Demit, Wan Ubaidah Omar di Kijang dan Rohani Ibrahim di Tanjong Mas. Sementara Siti Zailah Yusoff turut menang di kerusi Parlimen Rantau Panjang.

Sebelum ini terdapat spekulasi Mumtaz, Ubaidah dan Rohani akan digugurkan berdasarkan senarai penuh calon yang dikatakan bocor. Ia dinafikan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Menurutnya, senarai calon itu sengaja ditular bagi menimbulkan spekulasi liar.

PAS Kelantan kali ini berdepan dua lagi lawan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Kebanyakan calon PH diwakili PPBM dan Amanah.

Sementara itu, Takiyuddin yakin pengundi Kelantan akan sekali lagi mengembalikan mandat kepada PAS.

“Orang Kelantan diajar jika orang beri, kita terima, orang bagi kain, kita pakai, orang bagi gula, kita kacau, sampai masa pilihan raya, kita sokong PAS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.