PKR bertanding di sekurang-kurangnya 15 kerusi Sabah

PKR bertanding di sekurang-kurangnya 15 kerusi Sabah

Pengerusi PKR Sabah berkata partinya mungkin peroleh lebih banyak kerusi memandangkan perbincangan dengan Warisan masih berjalan.

Free Malaysia Today
Christina berkata separuh daripada calon PKR adalah muka baru, dengan 3 calon pemuda dan 3 calon wanita.
KOTA KINABALU:
PKR Sabah mengesahkan mereka akan bertanding 6 kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN pada 9 Mei nanti.

Pengerusi Christina Liew berkata senarai penuh calon dijangka diumumkan dalam 1 atau 2 hari.

“Masih terdapat beberapa kerusi sedang dirunding dengan Parti Warisan Sabah (Warisan). Kami jangka untuk selesaikannya tidak lama lagi. Jika terdapat perubahan, ia adalah penambahan bagi jumlah kerusi PKR, bukan pengurangan.

“Calon-calon akan diumumkan sebelum pelancaran manifesto ke-3 Pakatan Harapan (PH) Sabah di Sandakan pada 21 April oleh Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut Liew, lebih separuh daripada 15 calon itu muka baru, dan terdapat 3 calon pemuda dan 3 calon wanita.

PH Sabah terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah. Bagaimanapun, perbincangan mengenai pembentukan satu pakatan pilihan raya bersama Warisan hanya melibatkan PKR dan DAP.

Kerusi DUN yang diberikan kepada PKR adalah Api-Api, Kuala Penyu, Matunggong, Moyog, Tempasuk, Inanam, Kadamaian, Tamparuli dan Karanaan.

Bagi kerusi Parlimen pula, PKR akan bertanding di Ranau, Pensiangan, Tuaran, Tawau, Putatan dan Beaufort.

PKR meletakkan calon di 43 kerusi DUN pada pilihan raya umum lepas, dan menang di Api-Api, Matunggong, Moyog, Inanam dan Tamparuli, Klias dan Kadamaian.

Bagaimanapun, pembelotan menyebabkan PKR hanya memegang 2 kerusi DUN sahaja, iaitu Api-Api dan Inanam.

PKR juga kehilangan Penampang, satu-satunya kerusi Parlimen dimenangi PKR pada 2013 daripada 19 yang ditandingi, apabila Ahli Parlimen Darell Leiking menyertai Warisan, di mana beliau kini timbalan presiden.

Liew mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Api-Api sementara timbalan, Mustapha Sakmud kemungkinan besar akan bertanding di Tempasuk.

Liew berkata Pengerusi Amanah Sabah Hamza Abdullah akan bertemu Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal tidak lama lagi untuk berbincang berkenaan pengagihan kerusi antara 2 parti itu.

“Memandangkan PH Sabah sudah bersetuju berkenaan pengagihan kerusi dalam kalangan kami, ia bergantung kepada parti masing-masing untuk berbincang bahagian mereka dengan Warisan,” katanya.

Dilaporkan, Amanah berhasrat untuk bertanding di 2 kerusi DUN dan 2 kerusi Parlimen di Sabah, tetapi Warisan difahamkan juga berminat bertanding di situ.

Parti ke-3 dalam gabungan PH Sabah, DAP, sudah mengumumkan ia akan bertanding di 3 kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN.

Parti itu akan bertanding di Parlimen Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tenom, dan di DUN Luyang, Likas, Sri Tanjong, Elopura, Tanjung Papat, Bingkor, dan Kepayan.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.