Keadilan buat PSM

Oleh Roslan Mohamad

Tinggal lebih kurang 2 minggu lagi sebelum rakyat Malaysia memutuskan masa depan negara. Pilihan raya kali ini dilihat sangat penting bagi semua parti yang bertanding serta rakyat Malaysia tidak sabar mengundi setelah sekian lama menantikan teka-teki tarikh pembubaran Parlimen.

Baru-baru ini, Pakatan Harapan (PH) dilihat telah membuat keputusan tidak melayan permintaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi yang mereka ingin tandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

PSM merupakan sebuah parti politik berhaluan kiri di Malaysia. Walaupun mereka tidak begitu popular seperti parti lain di dalam PH mahupun Barisan Nasional (BN), PSM sebenarnya telah lama bertapak dalam arena politik di Malaysia.

Ramai netizen di media sosial menuduh dan mengkritik PSM yang dianggap pengacau yang akan memecahkan undi serta memberi kemenangan kepada BN. Malah, ada yang mengatakan kerusi yang akan ditandingi PSM tidak dapat dimenanginya seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dan juga Semenyih.

Tuduhan dan cacian seperti ini tidak patut ditujukan kepada PSM tanpa meneliti apa yang sebenarnya berlaku pada PRU lepas.

Sebagai contoh, DUN Kota Damansara merupakan kerusi panas di Selangor. Ramai ingin bertanding di sana sehinggakan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah berkempen di Kampung Melayu Subang pada PRU13.

Pakatan Rakyat ketika itu telah bersetuju memberikan DUN Kota Damansara kepada Mohd Nasir Hashim daripada PSM untuk bertanding di bawah logo PKR. Tetapi, pada saat akhir, PAS turut menghantar borang untuk bertanding di kerusi tersebut.

Pemimpin tertinggi parti Islam itu menasihatkan PAS Kawasan Subang menarik diri daripada kerusi itu, tetapi mereka tetap dengan pendiriannya.

Kegagalan Pakatan Rakyat tidak dapat mengawal ahli sekutu mereka menyebabkan ia kehilangan kerusi penting itu di Selangor. Oleh itu, adakah wajar menuduh PSM sebagai punca kegagalan memenangi kerusi tersebut?

Ramai rakyat Malaysia kurang mengenali perjuangan PSM. Dalam pemerhatian saya sebelum ini, PSM berani menyuarakan suara rakyat ditindas dan membela nasib golongan dianiaya.

Dari Cameron Highlands di Pahang hingga ke Kampung Gatco di Negeri Sembilan, golongan petani dan
orang miskin serta pekerja bawahan sentiasa dibela dan menjadikan isu tidak diketahui orang ramai tular.

Sikap berani, peramah dan mudah didekati menjadikan rakyat senang meminta pertolongan PSM. Tidak dapat kita nafikan PSM bekerja keras demi rakyat tanpa mengira warna kulit dan agama.

PH sepatutnya menghargai jasa baik PSM dan memberi peluang kepada parti itu bertanding di kerusi di yang pasti boleh dimenanginya seperti DUN Kota Damansara, Semenyih dan Parlimen Sungai Siput.

Perbincangan yang matang perlu dilakukan PSM dan PH walaupun masa sangat singkat ketika ini. Walaupun berbeza pandangan politik dan ideologi, tetapi PH perlu menilai sendiri adakah mereka mengambil tindakan betul kali ini dengan meminggirkan PSM.

Apakah PH menyangkal kerusi seperti DUN Kota Damansara, Semenyih dan Parlimen Sungai Siput memang kubu kuat PSM?

Jika PH benar-benar ingin kemenangan besar pada PRU14, mereka perlu mengambil langkah bijak. Jangan bersikap sombong jika kita benar-benar jujur dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia.

Akhir kata, saya ingin menegaskan saya bukan ahli PSM mahupun mempunyai sebarang kepentingan dengan parti itu. Tulisan ini juga bukan atas paksaan PSM, sebaliknya hanya pendapat saya sebagai warganegara bertanggungjawab.

Roslan Mohamad ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.