PKR mungkin gugur Adun Rawang Gan Pei Nei

Gan Pei Nei dakwa dirinya mangsa surat layang.

PETALING JAYA: Adun Rawang 2 penggal Gan Pei Nei kemungkinan besar digugurkan pada pilihan raya akan datang berikutan dakwaan penggelapan dana, kata sumber parti.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Gan yang teresak-esak mendakwa dia menjadi mangsa surat layang dan dan tidak diberi peluang untuk menjawab dakwaan itu.

Gan berkata dia akan membuat satu laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyerahkan bukti-bukti yang perlu bagi membersihkan namanya.

Seorang sumber parti memberitahu FMT dakwaan itu tidak terkandung dalam surat layang.

“Aduan dibuat dan bukti yang diserahkan menimbulkan beberapa soalan serius yang perlu dijawab Gan,” kata sumber.

Sumber mengatakan belum ada keputusan dibuat tentang dakwaan itu dan tiada bukti mencadangkan Gan secara peribadi menerima manfaat daripada sebarang salahlaku.

“Namun begitu, masih sukar untuk mencalonkan beliau. Kita berdepan pilihan raya, bukan mahkamah untuk membuktikan dia tidak bersalah.

“Kita tidak boleh berada dalam kedudukan mempertahankan diri sehingga hari pengundian,” kata sumber.

Sumber mengatakan PKR sedang berjuang atas platform anti-rasuah dan oleh parti perlu mengambil pendirian moral.

“Apabila soalan ditanya tentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan sumbangan RM2.6 bilion, kita tidak menghukum dia, cuma meminta dia bercuti sehingga mahkamah membersihkan namanya daripada sebarang salahlaku.

“Jika kita boleh minta Najib berundur mengapa pula tidak kalau ia mengenai ahli sendiri?”

Sumber mengatakan tiada ahli parti yang menghakimi Gan dan PKR hanya mahu tidak ada isu yang boleh digunakan terhadap parti pada pilihan raya nanti.

Sumber berkata menggugurkan penyandang tidak menjadi isu kerana tiada kerusi milik peribadi dan tiada orang mengatasi parti.

Sumber berkata keputusan muktamad akan dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan satu pengumuman akan dibuat esok.

Gan memenangi kerusi Rawang pada 2008 dalam pertandingan 3 penjuru menentang BN dan calon Bebas.

Pada PRU13, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 9,241 undi dalam perlawanan 1 lawan 1 menentang calon BN, Lee Li Yew.

FMT belum berjaya menghubungi Gan.