11 etnik Uighur didakwa masuk Malaysia secara haram

Mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya serta sebatan tidak lebih 6 kali, jika sabit kesalahan.

KUALA LUMPUR: Seramai 11 etnik Uighur China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Zakaria Arman, Salehudin Ali, Jaefar Amin, Osman Abbas, Alim Osman, Asen Ziyali, Taher Kasim, Ibrahim Rexiti, Nurudin Muhammad, Abdul Kader dan Yusof Ahmed, yang semuanya berusia antara 20 hingga 40 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Turki di hadapan Majistret Zuhairi Rosli.

Semua lelaki itu didakwa sebagai warganegara asing memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah di perkarangan Balai Polis Sentul pada 10.50 pagi 31 Januari lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan sebatan tidak lebih dari 6 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bustamam tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 31 Mei untuk sebutan semula kes semua tertuduh itu, yang diwakili peguam Zainal Omar, Fahmi Abd Moin, Ilyani Khuzairy dan Raimi Ab Rahim.

Pada 22 November lepas, media melaporkan Thailand memohon kerjasama Malaysia untuk mengesan tahanan Uighur berkenaan yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Pada 21 November tahun lepas, dalam insiden 2 pagi (waktu tempatan), beberapa etnik Uighur Muslim China yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal mereka meloloskan diri dari pusat tahanan negara itu.

Malaysia digesa jangan hantar pulang umat Islam Uighur ke China

Seorang tahanan Uighur ditahan di Kedah