
Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Qayyum Ridzuan, 30, yang bekerja mengambil upah bertukang selepas tertuduh mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada S Santhanam, 62, dengan menumbuk mata kiri mangsa.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau 2 bulan penjara terhadap tertuduh namun tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan ke atasnya.
Dia melakukan perbuatan itu di pondok pengawal keselamatan, Apartment 3 Elemen, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling, pada 3 pagi, 20 April lalu, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes ketika mangsa sedang bertugas, mangsa melihat dan menjeling ke arah tertuduh yang datang menaiki kenderaan dan meletak kenderaannya di lobi pangsapuri.
Sebaik keluar dari keretanya, tertuduh secara tiba-tiba pergi ke arah mangsa dan memarahinya sambil berkata “kenapa you pandang macam tak puas hati” lalu menumbuk mangsa di bahagian mata kirinya.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu tempoh tahanan reman yang dilaluinya memberi pengajaran dan merayu hukuman ringan manakala Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran mengambil kira tindakan tertuduh yang baran dan menumbuk mangsa tanpa sebarang sebab.