Orang Simpang Renggam tidak kenal Maszlee

Maszlee akui dirinya lebih dikenali dalam kalangan orang muda di laman sosial.

SIMPANG RENGGAM: Calon PPBM dan pensyarah Maszlee Malik bakal berdepan cabaran hebat apabila warga Simpang Renggam didapati tidak mengenali beliau.

Mereka pernah mendengar namanya atau terlihat wajahnya di internet, tetapi warga Simpang Renggam rata-ratanya menganggap Maszlee hanya sebagai seorang lagi ahli politik.

“Cuma pernah lihat berita tetapi tidak ‘kenal’. Cuma tahu dia ini orang politik,” kata Siti Saniah Ali, 60, seorang peniaga gerai makan.

Nama Maszlee mungkin terkenal dalam kalangan warga bandar dengan penampilan forum dan penulisannya di akhbar tempatan, tetapi Saniah lebih ‘mengenali’ calon BN, Datuk Liang Teck Meng.

Liang sudah 10 tahun berkhidmat di kawasan yang mempunyai lebih ramai Melayu, kira-kira 57%, berbanding Cina (33%) dan India (9%).

Wajah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai muka depan PPBM banyak membantu parti memasuki kawasan-kawasan Melayu, namun pencalonan Maszlee nampaknya belum meyakinkan penduduk.

Siti Saniah Ali hanya mengenali Maszlee melalui laporan berita.

“Saya tidak pasti nak undi mana. Saya tidak pernah undi lagi. Belum tahu nak undi parti mana lagi,” kata Izzah Ismail, 24, yang bekerja di kedai makan.

Meskipun begitu, warga Simpang Renggam kini terbuka kepada pilihan yang ada. Rahim Ahmat sudi memberi peluang kepada Maszlee dalam tempoh 11 hari berkempen nanti.

“Ini pertama kali mahu melihat dia secara depan-depan. Nanti kita lihat apa dia boleh beri kepada rakyat di sini. Kita akan nilai,” kata pekebun berusia 34 tahun ini.

Pada PRU13, Liang menewaskan PAS menang dengan majoriti 5,706 undi. Majoriti yang diperoleh pada PRU12 lebih tinggi iaitu 14,155 undi, sekali lagi menewaskan calon PAS. Dua pertandingan itu menyaksikan peningkatan undi kepada pembangkang, iaitu +14.01% pada 2008 dan +7.24 pada 2013.

Di peringkat DUN pula, BN menewaskan PAS di Machap dengan 3,902 undi dan di Layang-layang dengan 2,518 undi.

Mazlee ketika ditemui FMT akui namanya lebih dikenali dalam kalangan orang muda di laman sosial. Beliau baru sahaja menyertai PPBM bulan lalu.

Beliau bagaimanapun percaya warga Simpang Renggam juga mahukan perubahan.

“Orang muda di laman sosial banyak mengikuti aktiviti saya, mengenali saya sebagai aktivis dan kebanyakan pengundi Melayu lihat saya sebagai pensyarah universiti dan ustaz,” katanya.

Beliau berkata walaupun Liang yang lebih dikenali penduduk gagal menangani masalah bekalan air di situ.

“Walaupun Ahli Parlimen Simpang Renggam masa ini pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara tetapi masalah air juga tidak selesai selama 2 penggal,” katanya.

Penduduk yang ditemui FMT akui Simpang Renggam mengalami masalah air tetapi tidaklah terlalu teruk.

“Air ada terganggu juga. Dalam setahun ada 4 atau 5 kali. Sekali tidak ada air dalam 2 hari juga. Alasan diberikan sebab air kotor, tempat simpanan air itu ditutup,” kata Siti Saniah.