SPR tanggal papan iklan kerana Rosmah bukan calon PRU14

Papan tanda PH yang memaparkan wajah Wee Ka Siong, Najib Razak dan Rosmah Mansor.

YONG PENG: Sebuah papan iklan di Yong Peng, Johor yang tertera gambar Datin Seri Rosmah Mansor, diturunkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan alasan isteri perdana menteri bukan calon pilihan raya umum ke-14.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mengakui Pakatan Harapan (PH) menaikkan papan iklan yang turut mengandungi gambar calon BN di Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong dan tulisan “Undi Wee Ka Siong = Undi Najib dan Rosmah”.

Dalam satu video selama 1 minit, seorang lelaki berpakaian biru yang tertera perkataan “Harapan” dan logo PKR, dilihat memanjat tangga untuk menutup gambar dan nama Rosmah dengan semburan cat merah, sebelum menggunting gambar Rosmah bagi mengelakkan papan iklan itu diturunkan SPR.

Wee ketika ditemui FMT berkata, beliau tidak mencampuri urusan SPR dan sebaliknya penguasa itu mendapat aduan dan membuat keputusan untuk menurunkan papan tanda itu.

Sementara itu, Liew, yang juga calon DAP di Ayer Hitam, mendakwa SPR berlaku tidak adil dan mengamalkan dwistandard.

Papan tanda BN yang memaparkan wajah Liow Tiong Lai dan Presiden China, Xi Jin Ping. (Gambar Twitter)

Beliau mempersoalkan papan tanda Barisan Nasional yang tertera Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama Presiden Republic Rakyat China, Xi Jin Ping dengan tulisan “Hubungan diplomatik MCA dan Parti Komunis China, One Belt One Road beri manfaat kepada rakyat”.

“Kenapa papan tanda mereka tidak diturunkan,” katanya pada sidang media di Yong Peng.

Liew berkata papan tanda PH tiada impak negatif kepada Najib dan isteri perdana menteri maka ia tidak melanggar undang-undang.

SPR baru-baru ini menerbitkan peraturan tambahan untuk bahan kempen, yang hanya membenarkan penggunaan wajah presiden, timbalan presiden dan pengerusi negeri atau setaraf, menteri besar atau ketua menteri, dan calon dalam bahan kempen.

Liew bagaimanapun berkata peraturan tambahan itu tiada kuasa undang-undang.

“Pegawai pengurus SPR perlu menjelaskan sebab-sebab untuk menurunkan papan tanda tersebut. Ini tidak adil,” katanya.