Arul Kanda pertimbang tindakan undang-undang terhadap penulis

Arul Kanda pertimbang tindakan undang-undang terhadap penulis

Dia kata penulis menyerangnya tetapi tidak pernah sekali pun hadir sesi penerangan tentang 1MDB yang diadakan di seluruh negara.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook
KUALA LUMPUR:
Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap seorang penulis kolum berkenaan artikel yang mencadangkan dia memgelirukan orang ramai dalan sesi penerangan isu sekitar syarikat kerajaan itu.

“Sebagai seorang profesional, saya hanya ada rekod prestasi dan kredibiliti saya. Saya tak mahu ambil jalan ini tetapi saya akui peguam saya sedang mengkaji artikel itu. Saya menunggu nasihat mereka tentang cara terbaik untuk membersihkan nama saya dan biarkan fakta menerangkan perkara itu,” katanya.

Beliau merujuk kepada artikel oleh P Gunasegaram di portal Malaysiakini, yang menggelar Arul seorang ” badut” tanpa integriti, moral dan kebijaksanaan.

“Orang beritahu saya dia seorang yang cerdik dan pendebat yang hebat tetapi apa yang saya lihat ialah dia sering menunjukkan kebodohan dan kata-kata basi orang yang terdesak, cuba menutup pencapaian yang tidak seberapa dengan kata-kata,” kata Gunasegaram dalam kolum pada Jumaat.

“Dia boleh mencipta kerjaya yang dihormati dalam industri kewangan tetapi diperdaya dan ditarik masuk sebagai CEO 1MDB untuk melaksanakan perintah tuannya, iaitu melakukan pendayaan sistematik untuk menafikan kleptokrasi terbesar di dunia.”

Arul berkata tindakan undang-undang itu nanti atas kapasiti peribadi dan membidas Gunasegaram kerana melakukan serangan peribadi dan tidak menghadiri mana-mana 30 sesi penerangan terbuka tentang 1MDB yang dijalankan di seluruh negara.

“Jika dia berbuat demikian, saya pasti nadanya akan berbeza dan akan lebih berhati-hati,” kata Arul.

Beliau berkata dia tinggalkan kerjaya perbankan yang lumayan di Timur Tengah untuk mengambil kerja “yang orang lain tidak mahu”, untuk memulihkan syarikat yang berdepan “isu-isu besar” dan masalah yang terkumpul dalam tempoh 5 tahun itu.

“Saya terpaksa berkorban dan pengorbanan itu berbaloi – syarikat kini stabil, hutang dikurangkan dari RM50 bilion kepada RM31 bilion, dan semua rakyat boleh lihar kejayaan projek TRX, dengan pelabur antarabangsa seperti HSBC dan Prudential mahu tempatkan ibu pejabat mereka.

“Sebagai seorang patriot dan rakyat yang bertanggungjawab, saya bangga dengan pencapaian itu,” kata Arul, yang pernah mengetuai bahagian pelaburan di Bank Perdagangan Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu sebelum pulang ke tanahair di kemuncak krisis kewangan yang melanda 1MDB pada 2014.

Beliau berkata sebagai seseorang yang dikenali, dia tidak boleh lari dari kritikan, dan akui “sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan”.

“Tetapi tidak perlu serang secara peribadi dan membuat kenyataan yang berpotensi dianggap memfirnah untuk menyampaikan mesej anda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.