Pemimpin BN pesan pengundi jangan ikut emosi

Pemimpin BN pesan pengundi jangan ikut emosi

Calon BN PRU14 mengingatkan pengundi mengenang jasa parti itu mentadbir negara selama ini.

Free Malaysia Today
Calon Segamat S Subramaniam juga meminta pengundi keluar awal ke pusat pengundian bagi menunaikan tanggungjawab.
KUALA LUMPUR:
Menjelang hari pengundian pilihan raya umum ke-14 (PRU14) esok, pengundi diminta supaya menghargai hak demokrasi mereka sebagai pengundi untuk menentukan masa depan negara dan tidak mengundi mengikut emosi.

Di Segamat, penyandang kerusi Parlimen Segamat yang juga Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam mengingatkan pengundi agar membuat pemilihan tepat serta memilih calon berasaskan prestasi dan parti agar Barisan Nasional (BN) tidak berdepan masalah untuk menang bergaya pada PRU ini.

“Pesan saya pada hari terakhir kempen adalah pengundi tidak boleh membuat keputusan berasaskan emosi tetapi melihat apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Penduduk Segamat dan perasmian Dewan Muafakat Taman Yayasan hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Kesihatan itu turut meminta agar semua pengundi keluar awal ke pusat pengundian bagi menunaikan tanggungjawab dalam sebuah negara demokrasi.

Di Rembau, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, yang mengungkapkan nasihat serupa, mahu masyarakat berfikir dengan matang dan memberi peluang kepada BN bagi memastikan negara terus dapat ditadbir dengan baik.

Pengerusi Pemuda BN dan ketua Pemuda Umno itu turut berharap supaya pengundi tidak terpengaruh dengan agenda yang dibawa pembangkang sehingga menyebabkan mereka gagal membuat pilihan dengan bijak.

“Kami (BN) bukanlah sempurna tapi banyak kebaikan yang dibawa oleh BN dan saya harap BN sekali lagi diberi peluang untuk memastikan Malaysia dan rakyat dapat diperhebatkan pada 5 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas program makan tengah hari bersama penduduk Kampung Sepri.

Di Jerlun, penyandang kerusi Parlimen yang juga calon BN bagi kerusi itu, Datuk Othman Aziz meminta pengundi agar membuat keputusan bijak dalam menentukan pimpinan yang akan mentadbir kawasan itu dan tidak terpengaruh dengan sentimen emosi semata-mata.

Ini, katanya, kerana BN memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang 5 tahun lalu dan terserah kepada para pengundi untuk menilai prestasi mereka selama ini.

“Apa pun saya yakin 54,132 pengundi berdaftar di Parlimen ini sudah cukup matang untuk membuat pilihan, mereka akan buat sokongan dengan menterjemahkan undi berdasarkan realiti dan bukan emosi, realiti bermaksud apa mereka dapat dan rasa selama ini daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya.

Di Kangar, calon BN bagi kerusi DUN Sena Azihani Ali turut mengingatkan pengundi supaya bersikap matang, rasional dan mengelak daripada membuat keputusan mengikut emosi dalam memilih calon wakil rakyat mereka esok.

Beliau berkata berdasarkan segala usaha dan rekod yang ditunjukkan selama ini, jelas menunjukkan hanya BN mampu membentuk kerajaan dan mentadbir dengan baik.

“Memang seronok tengok apa yang pembangkang tawarkan, tapi mereka pun berpecah dan baru-baru ni ada pengikut PKR yang hubungi saya beritahu akan undi BN sebab mereka ‘frust’,” katanya kepada Bernama selepas bertemu dengan pengundi di Kampung Salang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.