
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Mohd Nazri Ismail berkata kawasan terlibat ialah Bagan Serai, Bukit Gantang dan di daerah Larut.
“TNB sudah menyelesaikan masalah itu yang berpunca akibat ribut petir yang kuat. Ribut kuat menyebabkan elektrik terputus, suis Pemutus Litar Bocor ke Bumi iaitu ELCB tidak berfungsi, namun suis sudah dinaikkan semula,” katanya di sini, hari ini.
Berhubung isu kerusi roda yang tidak mencukupi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting, Taiping, Mohd Nazri berkata masalah tersebut sudah diselesaikan.
“Kita sewa kira-kira 800 kerusi roda untuk kegunaan pengundi di seluruh Perak, namun sekiranya pengundi yang memang sedia mempunyai kerusi roda, kita galakkan mereka menggunakan kerusi roda mereka,” katanya.
Beliau berkata peratusan mengundi di Perak mencecah 61.45% atau 1,472,985 pengundi setakat 2 petang tadi.
“Proses pengundian berjalan lancar setakat ini, namun ada sesetengah kawasan hujan lebat dan ribut petir,” katanya.
Beliau juga berkata masih terdapat pengundi yang masih keliru mengenai saluran pengundian mereka walaupun maklumat itu boleh diperolehi secara dalam talian.
“Setakat ini tiada kes kecemasan dilaporkan, tapi terdapat kes di mana pengundi tidak diberikan kertas undi kerana nama telah dipotong (daripada senarai pemilih),” katanya.
Mohd Nazri berkata berkemungkinan kad pengenalan pengundi telah disalah guna atau mungkin mereka telah memohon undi pos yang telah diluluskan namun hadir ke pusat mengundi kerana tidak mendapat kertas undi pos.