Angkat sumpah perlu dilakukan hari ini, kata Dr M

Angkat sumpah perlu dilakukan hari ini, kata Dr M

PM pilihan Pakatan Harapan itu berkata tempoh Najib Razak mentadbir sebagai perdana menteri sudah tamat.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir Mohamad berkata calon perdana menteri PH sudah pun jelas. (Gambar Reuters).
PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa majlis angkat sumpah untuk mengiktirafnya sebagai perdana menteri ke-7 segera dilakukan.

Dr Mahathir berkata, tempoh Datuk Seri Najib Razak mentadbir sebagai perdana menteri sementara sudah tamat memandangkan rakyat sudah memilih ahli Parlimen baru.

“Terdapat kekeliruan ketika ini, kami mahu bentuk kerajaan sekarang ini. Sekarang ini sudah tidak ada kerajaan dan kerajaan sementara Najib sudah tamat.

“Jika kerajaan tidak dilantik segera, negara tidak ada pentadbirnya, perkara pertama yang perlu dilakukan Yang Di Pertuan Agong adalah melantik perdana menteri setelah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Calon itu anda sendiri tahu siapa, ia adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Kami harap, sebelum jam 5 petang akan ada kerajaan baru tertubuh,” katanya dalam sidang media di Hotel Sheraton.

Dr Mahathir berkata beliau menafikan terdapat pertikaian ketika ini kononnya pelantikannya itu tidak dipersetujui Majlis Raja-Raja Melayu.

“Saya tidak tahu tetapi saya orang yang baik, saya ada sokongan majoriti dari ahli parlimen, bukannya tentang siapa yang disukai atau tidak.

“Tidak dinafikan ada sedikit kelewatan kerana bukan semuanya dapat dilakukan dengar kadar segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.