
“Baginda kesal dengan laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial mengaitkan baginda dengan campur tangan dalam pelantikan jawatan perdana menteri,” kata Munir dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat tidak mudah mempercayai berita palsu di internet atau media sosial yang bertujuan mengganggu gugat keharmonian negara serta menimbulkan ketegangan antara pihak istana dan kerajaan negeri atau persekutuan.
Majlis angkat sumpah jawatan perdana menteri Malaysia ke-7 di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad ke-5 yang sepatutnya diadakan 9.30 pagi tadi, ditangguhkan.
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun menafikan berlaku pertikaian kononnya pelantikannya tidak dipersetujui Majlis Raja-raja Melayu.
Sebaliknya, beliau berkata, berlaku kekeliruan iaitu 4 parti komponen PH bukan sebuah gabungan rasmi dan bertanding di bawah logo PKR dalam pilihan raya umum ke-14 semalam.
“Akibatnya tidak ada satu parti mempunyai majoriti diperlukan bagi membentuk kerajaan baru. Tetapi kami berpegang dengan ketetapan undang-undang yang menyebut perdana menteri hendaklah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media tengah hari tadi.
Beliau berkata, dengan 104 kerusi yang dimenangi PKR, 9 kerusi dimenangi DAP di Sabah dan Sarawak dan 8 kerusi Parti Warisan Sabah, beliau kini mempunyai mandat untuk menjadi perdana menteri.
Kami telah atasi kekeliruan tentang jawatan PM, kata Mahathir