Harga saham Utusan milik Umno terendah dalam 5 tahun

Harga saham Utusan milik Umno terendah dalam 5 tahun

Saham di kaunter senarai Pasaran Utama itu jatuh sebanyak 7 sen, selepas BN yang diketuai Umno kalah dalam PRU14.

KUALA LUMPUR:
Saham dalam akhbar Utusan Melayu (M) Bhd yang mengalami kerugian, hari ini jatuh ke tahap terendah dalam tempoh 5 tahun ini, susulan kekalahan pemegang saham utamanya, Umno pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), lapor theedgemarkets.com.

Saham Utusan yang disenaraikan di kaunter Pasaran Utama itu merosot sebanyak 7 sen atau 22.58%, daripada harga penutup sebelum ini 31 sen.

Bagaimanapun, pada 11:45 pagi tadi, saham syarikat akhbar arus perdana itu pulih sedikit kepada 26 sen, untuk permodalan pasaran sebanyak RM28.79 juta, menurut laporan berkenaan.

Umno, parti komponen utama dalam Barisan Nasional (BN), memiliki 49.77% saham dalam Utusan melalui RHB Nominees (Tempatan) Sdn Bhd.

Utusan menerbitkan 2 akhbar harian berbahasa Melayu, iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Minggu lalu, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN selepas PRU14 menamatkan pemerintahan parti itu selama 60 tahun di negara ini.

PRU14 menyaksikan peralihan kuasa bersejarah dengan Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan mandat untuk menubuhkan kerajaan baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.