
Shad bersama beberapa pengulas membidas pembelotan itu, termasuk penganalisis politik, Andrew Aeria yang menyifatkan pembelot itu sebagai pengkhianat parti dan rakyat yang mengundi mereka.
“Melompat dari sebuah parti ke parti lain adalah perbuatan keji dan menyebabkan orang hilang rasa hormat kepada ahli Parlimen dan adun itu.
“Ia seolah-olah mereka tidak mempunyai sebarang prinsip dan kesetiaan, kecuali untuk wang dan diri.”
Beralih kepada PH, katanya, beliau terkejut gabungan itu gagal melihat betapa tidak beretikanya tindakan menerima wakil rakyat yang dipilih atas tiket lawan.
Katanya, cara beretika menangani situasi itu ialah meminta semua pembelot membantu PH mencapai objektifnya dengan kekal di luar gabungan 4 parti berkenaan.
“Beritahu mereka anda tidak mahu mereka dalam parti itu, tetapi mereka amat dialu-alukan untuk menyokong anda di Dewan Rakyat. Atau minta mereka jadi wakil rakyat bebas. Dan jika mereka mahu menyokong anda, mereka boleh memohon keahlian dalam parti anda.”
Beliau mengakui mungkin ada keadaan untuk mewajarkan wakil rakyat melompat parti, seperti ketika Winston Churchill meninggalkan Parti Konservatif di Britain pada 1904 dan menyertai Parti Liberal kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan tarif bersifat perlindungan.
“Tetapi untuk menyertai pilihan raya dengan memakai sebuah topi dan menukar topi lain selepas pilihan raya – itu tindakan tidak bermoral.”
Beliau tidak mahu membuat spekulasi jika PH akan mendapat majoriti 2/3 di Parlimen dengan bantuan pelompat parti, tetapi jika itu berlaku, katanya, “akibat ketara ialah kerajaan mempunyai kemampuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan”.