Anwar kini bebas

Anwar kini bebas

Ketua umum PKR itu kini dalam perjalanan ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Free Malaysia Today
Anwar melambai ke arah penyokongnya yang berkampung di Hospital Rehabilitasi Cheras. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dibebaskan, selepas menjalani hukuman penjara selama 1,557 hari atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya dan menjelang 1 Ramadan esok.

Tetapi, berbeza dengan pembebasannya dari penjara pada 2003, Anwar hari ini keluar dengan mendapat tumpuan yang banyak daripada media tempatan dan antarabangsa, seminggu selepas kemenangan bersejarah Pakatan Harapan yang diketuai bekas mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Anwar yang memakai sut hitam dan bertali leher merah disambut penyokongnya yang berkampung di luar Hospital Rehabilitasi Cheras, di mana beliau dirawat untuk kecederaan bahunya.

Ketua umum PKR itu kini ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dalam perjalanan ke Istana Negara di Jalan Duta untuk menghadap Sultan Muhammad V bagi mendapatkan pengampunan diraja.

Dianggarkan lebih 1,000 penyokong berkumpul di perkarangan Hospital Rehabilitasi Cheras sejak 7 pagi tadi untuk menyambut bekas ketua pembangkang itu,

Mereka bersorak sambil melaungkan “Reformasi” ketika Anwar keluar dari hospital itu. Kumpulan berkenaan kemudiannya menuju ke Istana Negara untuk menanti Anwar mendapatkan pengampunan diraja.

Dr Mahathir sedang menanti ketibaan Anwar di Istana Negara.

Anwar, 70, sepatutnya dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 8 Jun kerana berkelakuan baik.

Beliau dikenakan hukuman penjara 5 tahun pada Februari 2015 atas tuduhan liwat yang didakwa beliau sendiri dan penyokongnya bermotifkan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.